SUBANG – Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah berangkat tiba di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Subang di sini bagi memulakan lawatan negara ke Malaysia selama tiga hari.
Baginda yang diiringi Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, pegawai kanan kerajaan dan delegasi mendarat tepat pukul 5 petang dengan pesawat khas.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Sejurus mendarat Sultan Brunei kemudian memeriksa barisan kawalan kehormat yang dianggotai dua pegawai dan 26 anggota Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja.
Dalam tempoh lawatannya ke Malaysia, Sultan Brunei dijadual diberikan Istiadat Sambutan Negara di Istana Negara oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini.
Seterusnya baginda akan bertemu dengan Al-Sultan Abdullah, diikuti dengan Majlis Santapan Negara bagi meraikan Sultan Brunei dan delegasi.
Pada sebelah petangnya pula, baginda akan bertemu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya dan menyaksikan pemeteraian beberapa instrumen dua hala antara Malaysia-Brunei.
Sebelum mengakhiri lawatannya di Malaysia pada Jumaat, Sultan Brunei juga dijangka berangkat ke Majlis Makan Malam yang dihoskan oleh Perdana Menteri di Malaysian Petroleum Club, Menara Berkembar Petronas.
Menurut kenyataan Kementerian Luar (Wisma Putra) hari ini, lawatan negara Sultan Hassanal Bolkiah itu bertepatan dengan Perundingan Tahunan Pemimpin Malaysia-Brunei (ALC) ke-24 yang akan dihadiri oleh baginda dan Anwar.
Katanya sebagai mekanisme dua hala tertinggi antara Malaysia dan Brunei, ALC akan memberi peluang kepada kedua-dua pemimpin untuk mengkaji semula kemajuan kerjasama dua hala, dan membincangkan isu-isu tertunggak serta bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.
Ini sekali gus akan mengukuhkan lagi hubungan terjalin lama dan kerjasama pelbagai aspek antara kedua-dua negara dan rakan kongsi di ASEAN.
Pada 2022, Brunei merupakan rakan dagangan ke-26 terbesar Malaysia dan keenam terbesar dalam ASEAN dengan jumlah perdagangan berjumlah RM13.22 bilion (US$2.98 bilion), peningkatan 68.4 peratus berbanding nilai yang dicatatkan pada 2021.