Wednesday, 1, May, 2024
Utama Nasional Anwar tidak pernah campuri urusan penahanan Sanusi

Anwar tidak pernah campuri urusan penahanan Sanusi

oleh admin

GOMBAK – Penahanan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang didakwa menghina Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah tiada kaitan dengan campur tangan
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) turut menafikan pihaknya membuat laporan mengenai kes berkenaan.

“Orang tuduh Anwar zalim kerana hadapkan seseorang ke mahkamah. Kes apa? Kes hina Raja.

Siapa buat laporan? Dewan Diraja Selangor, bukan saya buat laporan. Kamu marahlah Dewan Diraja Selangor.

“Kenapa Dewan Diraja Selangor boleh buat laporan? Sebab dapat persetujuan, perkenan Sultan Selangor.

“Kalau betul tak salah kenapa Pesuruhjaya Pas Selangor pergi menghadap Sultan Selangor minta ampun? Kemudian, apa kata Tuanku? Tak selesai… besok polis dakwa.

“Raja ini mengatasi politik. Raja ini payung negara. Ini semua sebab (Pas) baik dengan Tun (Dr) Mahathir (Mohamed), belajar dari Tun Mahathir, kemudian kena dakwalah,” katanya ketika berucap pada program ‘Kita Hulu Kelang Bersama PMX’ di sini semalam.

Anwar bagaimanapun memberitahu, beliau dimaklumkan mengenai penahanan Sanusi.

“Tetapi itu isu soal polis, pendakwa dan hakim, saya tak campur, boleh tanya Ketua Polis Negara,” ujarnya.

Sebelum ini, Sanusi mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen Selayang, atas dua pertuduhan menghasut berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik pada 11 Julai lalu.

Mengikut pertuduhan, Sanusi, 48 tahun, yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional, didakwa melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut dengan menyebut perkataan yang mempunyai kecenderungan untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana raja.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com