ALOR SETAR – Kenyataan Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Sulaiman pada program Debat Model Ekonomi Baharu semalam, didakwa bersifat tidak sensitif terhadap institusi dan agama Buddha.
Justeru, Persatuan Siam Kedah mendesak Penolong Setiausaha Agung Pas itu segera membuat permohonan maaf kepada masyarakat Siam berikutan kenyataannya itu.
Pengerusi Persatuan Siam Kedah (PSK) merangkap Timbalan Presiden Persatuan Siam Malaysia (PSM), Tang Edam berkata, pihaknya kecewa dan kesal dengan kenyataan Mohd Syahir yang didakwa menggores hati masyarakat Siam di Malaysia.
Kenyataan itu katanya, tidak benar sama sekali kerana larangan minum arak adalah antara ajaran dasar moral agama Buddha yang dikenali sebagai Pancasila (Lima Sila).
“Dia ada menyatakan dalam agama Buddha menghalalkan arak itu, sedangkan kami ada Lima Sila yang kami pegang.
“Dalam Pancasila yang dipegang itu, melarang minuman yang memabukkan. Jadi, apa-apa minuman memabukkan dan mengkhayalkan memang dilarang,” katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.
Tambahnya, beliau tertanya-tertanya dari mana Mohd Syahir mendapatkan fakta dan maklumat apabila mengeluarkan kenyataan tidak sensitif seumpama itu.
“Dia pakai hentam (cakap), yang itu tak bolehlah,” katanya.
Justeru, beliau menggesa Mohd Syahir memohon maaf kepada penganut agama Buddha dan masyarakat Siam di seluruh negara atas kenyataan yang dikeluarkan itu.
“Sekiranya, ada melihat orang Siam ada minum, ia adalah (perkara) peribadi dan bukannya melibatkan agama. Jadi, dia tidak boleh terus buat dakwaan.
“Jadi, kita minta dia minta maaflah sebelum kami ambil sebarang tindakan undang-undang atau lain-lain kerana kami amat kecewa sekali,” katanya.
Beliau turut mengingatkan mana-mana individu supaya tidak mencampur aduk dan memasukkan sekali masalah agama dalam hal politik.