Monday, 29, April, 2024
Utama Politik Perkara penting berkaitan peningkatan taraf hidup rakyat diusahakan Kerajaan Perpaduan

Perkara penting berkaitan peningkatan taraf hidup rakyat diusahakan Kerajaan Perpaduan

oleh admin

KUALA NERANG – Perkara penting berkaitan meningkatkan taraf hidup rakyat termasuk pesawah, penoreh dan nelayan kini sedang diusahakan Kerajaan Perpaduan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sehubungan itu, Anwar menyeru rakyat di Kedah memberikan peluang kepada gabungan parti dalam Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan beliau dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) untuk menjaga dan meningkatkan taraf hidup mereka.

“Cerita politik ini untuk apa? Betul untuk jaga Islam, jaga orang Melayu, Siam, Cina dan India, tetapi yang penting adalah untuk meningkatkan pendapatan rakyat. Saya tak bangga jadi Perdana Menteri kalau saya tak boleh buat apa-apa tolong rakyat miskin,” katanya ketika berucap pada Ceramah Jelajah Perpaduan MADANI di Naka dekat sini hari ini.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah Datuk Mahfuz Omar turut serta dalam ceramah itu.

Anwar mengulangi bahawa hubungan kerajaan negeri dengan kerajaan pusat perlu baik untuk melancarkan rancangan pembangunan termasuk menarik pelabur luar.

“…saya minta semua bagilah peluang agar kerajaan negeri boleh bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan untuk faedah rakyat,” katanya.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Pengerusi PH berkata kestabilan Kerajaan Perpaduan sekarang memainkan peranan penting dalam usaha menarik minat pelabur luar untuk membuat pelaburan di negara ini termasuk di Kulim, Kedah.

Beliau berkata beberapa soalan terhadapnya termasuk jaminan kestabilan kerajaan dan usaha mengawal golongan pelampau ditanya pihak syarikat Infineon Technologies AG (Infineon) dari Jerman yang memutuskan membuat pelaburan tambahan sejumlah RM25 bilion di Kulim bulan lepas.

“Soalan pertama apakah Kerajaan Perpaduan ini stabil dan kekal lima tahun, saya kata Insya-Allah saya bagi kenyataan (yang) UMNO, Barisan Nasional, pendirian PH, pendirian Abang Johari (Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg) dan pendirian GRS (Gabungan Rakyat Sabah), Ketua Menteri Sabah.

(Soalan) yang kedua dia (pihak Infineon) baca dasar ekonomi kita, dia kata dia puas hati apakah kerajaan akan tukar dasar ini, saya kata tidak, selagi kita dalam kerajaan ekonomi MADANI… telah diterima dalam Kabinet dan akan dijalankan.

“Soalan ketiga susah sikit nak jawab dia tanya di utara, ada golongan pelampau, apakah boleh kerajaan Anwar kawal benda ini takut mereka (golongan pelampau) rosak dasar ini, saya jawab tak apa, Insya-Allah dalam pilihan raya enam negeri ini terjamin, kita akan tambah satu atau dua lagi (negeri termasuk tiga disasarkan menang),” katanya.

Anwar turut menempelak Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mendakwa pihak syarikat Jerman itu telah datang ke Kedah dan memaklumkan lebih awal untuk membuat pelaburan baharu pada tahun lepas.

“Tolong Google bila keputusan dibuat (iaitu) hujung Julai, lembaga putuskan 5 bilion euro (atau) RM25 bilion dilabur di Malaysia dan kita setuju dimasukkan di Kulim,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com