Sunday, 24, November, 2024
Utama Nasional Al-Quran tidak hanya dibaca tapi perlu dipraktik – PM

Al-Quran tidak hanya dibaca tapi perlu dipraktik – PM

oleh admin

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru umat Islam agar tidak hanya membaca al-Quran semata-mata tetapi turut perlu mempraktikkan apa yang terkandung dalam kitab suci itu.

Katanya, ianya sangat penting bagi menghadapi keadaan masa kini selain berlakunya fenomena Islamfobia.

“Baru-baru ini di majlis pembukaan acara tilawah Al Quran, saya menghimbau peranan besar Al Quran sebagai risalah Allah SWT kepada manusia serta sejarah majlis yang dianjurkan saban tahun ini.

“Saya membentangkan hujah bahawa Al Quran tidak hanya bahan bacaan semata, tetapi ia adalah untuk dipraktik oleh semua kita, dan ia kekal menjadi tantangan umat manusia hari ini,”katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata fenomena atau gagasan Islamofobia yang cuba dipaksakan ke atas umat Islam juga semakin menyemarak tatkala keindahan Al Quran dan Islam itu belum cukup diungguli serta disikapi dengan cermat.

Katanya, menelusuri sejarah dengan mengutip apa yang pernah diungkapkan Lord Allenby setelah berjaya merenggut Kota Baitulmaqdis dari Turki Uthmaniyyah, “the wars of the crusades are now complete” juga menjadi antara asas kepada kebencian yang disaksikan hari ini.

“Saya menegaskan sekali lagi bahawa kerajaan Perpaduan mengecam serta mengutuk insiden pembakaran Al Quran yang pada saat ini masih berlaku di Sweden.

“Sebagai masyarakat dan umat yang tertegak dengan hujah dan mencintai keamanan, gejala seperti itu mesti dibenam dan disikapi dengan hikmah dan bertanggungjawab,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com