KUALA LUMPUR:Kerajaan menerusi Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) memutuskan untuk melaksanakan inisiatif single window.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia bertujuan bagi menyelaras dan menyusun semula fungsi kerjasama merentasi agensi dan penggiat ekosistem syarikat pemula di negara ini.
Katanya yang mempengerusikan mesyuarat itu, inisiatif berkenaan menetapkan sasaran 5,000 syarikat pemula menjelang tahun 2024.
“Sehubungan itu, kerajaan akan melaksanakan inisiatif single window untuk menyelaras dan menyusun semula fungsi, terutamanya berkaitan kerjasama merentasi agensi dan penggiat dalam ekosistem syarikat pemula sebagai panduan dalam penggubalan dasar dan membuat keputusan.
“Inisiatif ini menetapkan sasaran mewujudkan 5,000 syarikat pemula menjelang tahun 2025. Mesyuarat ini turut bersetuju untuk mempercepatkan pelaksanaan Projek Pembangunan Identiti Digital Nasional (IDN) di bawah Jabatan Pendaftaran Negara,” katanya dalam kenyataan media di sini, semalam.
IDN jelas Anwar, merupakan suatu bentuk pengenalan dan pengesahan diri secara digital dengan merujuk kepada sumber tunggal yang sahih berdasarkan ciri-ciri biometrik individu.
Katanya apabila siap kelak, IDN akan bertindak sebagai platform pengenalan diri digital terutama perkhidmatan dairpada penyedia perkhidmatan.
“Ia akan memastikan transaksi dalam talian adalah dalam persekitaran digital yang fleksibel dan selamat. Kerajaan akan terus mempertingkatkan program pendigitalan sektor awam untuk memastikan kemajuan digital yang mapan dan memacu agenda transformasi digital negara.
“Pelaksanaan IDN ini adalah antara inisiatif di bawah Teras Memacu Transformasi Digital Sektor Awam di dalam Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia, seiring dengan hasrat Ekonomi MADANI untuk mengangkat negara sebagai peneraju ekonomi Asia dan meningkatkan kesejahteraan rakyat,” ujarnya.
Jelas Anwar lagi, Malaysia turut menyasarkan untuk berada di kalangan 20 negara utama ekosistem syarikat pemula global menjelang tahun 2030, serta membangunkan Kuala Lumpur sebagai hab syarikat pemula dan digital serantau.
Sehingga kini, terdapat sekurang-kurangnya 14 agensi telribat dalam ekosistem syarikat pemula merangkumi aspek pembiayaan, pembangunan produk, pemasaran dan kepakaran.
“Sehubungan itu, Majlis telah bersetuju dengan pelaksanaan inisiatif bagi memperkukuhkan ekosistem syarikat pemula serta meningkatkan keterlibatan dan prestasi syarikat pemula tempatan.
“Sehingga kini, terdapat sekurang-kurangnya 14 agensi yang terlibat dalam ekosistem syarikat pemula merangkumi aspek pembiayaan, pembangunan produk, pemasaran dan kepakaran,” katanya lagi.