Sunday, 28, April, 2024
Utama Sukan Norza tokoh kepimpinan sukan Anugerah SAM-100 Plus 2022

Norza tokoh kepimpinan sukan Anugerah SAM-100 Plus 2022

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR – Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Kepimpinan Sukan pada Majlis Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2022.

Naib Presiden SAM, Hazreen Mubarak berkata, Mohamad Norza menunjukkan ketegasan yang jelas terhadap isu-isu berkaitan pentadbiran dan pengurusan badan sukan kebangsaan. Bakat kepimpinan yang dimiliki beliau tidak dapat disangkal lagi.

“Kami berharap dengan anugerah ini, akan memberikan motivasi kepada Tan Sri Mohamad Norza untuk terus berusaha memartabatkan badan sukan di negara ini,” katanya.

Mohamad Norza menggalas jawatan Presiden BAM bermula 2017 menggantikan Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff yang berundur kerana faktor kesihatan.

Pencapaian terbaik beliau bersama BAM adalah menamatkan penantian Malaysia untuk muncul juara di Kejohanan Dunia 2022 menerusi beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik selain tiga pingat perak Sukan Olimpik Rio de Janeiro, Brazil pada 2016 menerusi Datuk Lee Chong Wei
(perseorangan lelaki), Goh V Shem-Tan Wee Kiong (beregu lelaki) dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (beregu campuran).

Inisiatif beliau memperkenalkan indeks petunjuk prestasi utama (KPI) dan penilaian berdasarkan merit ke atas pemain senior, menyaksikan kemunculan bakat muda seperti Lee Zii Jia, Aaron-Wooi Yik dan M. Thinaah-Pearly Tan.

Beliau juga memperkenalkan Liga Junior AirAsia-BAM yang menyaksikan penyertaan tahunan lebih 4,000 pelajar dari 280 buah sekolah.

Pada 2018, beliau dilantik Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menggantikan Tunku Tan Sri Imran Tuanku Jaafar dan turut memegang jawatan Presiden Majlis Sukan Komanwel Malaysia serta pernah menggalas jawatan Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN). 

Beliau turut menjawat jawatan Presiden Persatuan Polo Diraja Malaysia dan Presiden Kelab Polo Putra.

Tokoh sukan itu juga mengetuai kontinjen Malaysia membawa pulang 62 pingat emas Sukan SEA 2015 di Singapura, iaitu pencapaian terbesar Malaysia dalam temasya dwitahunan itu di luar Malaysia.

Menerajui MOM, Mohamad Norza memperkenalkan pelbagai inisiatif antaranya kriteria pemilihan MOM yang telus untuk atlet ke temasya sukan, penjanaan semula Suruhanjaya Atlet MOM (AC) termasuk pemberian geran dan penyertaan wakil AC dalam mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM, menyemak dan merombak perlembagaan MOM serta penciptaan pangkalan data
komprehensif mengandungi maklumat atlet dan pegawai yang telah menyertai temasya sukan.

Kepimpinan Mohamad Norza tidak terhad di peringkat kebangsaan sahaja, malah turut membuka mata ‘pihak luar’ apabila diangkat sebagai Pengerusi Jawatankuasa Sukan untuk semua Majlis Olimpik Asia (OCA) selain dipilih sebagai Presiden Kehormat Badminton Asia (BAC) dan kedua dua jawatan itu bagi penggal 2023 hingga 2027.

Ia satu penghargaan buat BAM memandangkan Mohamad Norza menjadi individu pertama dari Malaysia untuk mengisi kerusi tersebut dan dia akan melaksanakan tugas itu sehingga 2027.

Pelantikan Mohamad Norza sebagai Presiden Kehormat Badminton Asia juga berdasarkan pengalaman yang dimiliki dalam urus tadbir persatuan badminton, Fasal 13.2 yang mempunyai pengetahuan selain mencapai status tertentu supaya mampu memberikan sokongan dan impak positif kepada badan induk badminton Asia.

Selain mengiktiraf atlet yang cemerlang serta mengharumkan nama Malaysia sepanjang tahun 2022, turut dirai pada majlis Anugerah SAM-100PLUS adalah wartawan sukan yang berpeluang memenangi hadiah wang tunai keseluruhan lebih RM50,000.

Anugerah dibahagi kepada enam kategori;– Laporan Berita Terbaik (Media Cetak), Laporan Berita Terbaik (Media Elektronik), Ulasan Berita Terbaik (Media Cetak), Ulasan Berita Terbaik (Media Elektronik), Laporan Khas Terbaik (Terbuka) dan Fotografi Sukan Terbaik.

Pemenang terbaik keseluruhan untuk kategori kewartawanan sukan akan dinobatkan sebagai penerima Anugerah Siebel dengan hadiah wang tunai RM RM7,000 beserta trofi.

Untuk edisi kali ini, SAM memperkenalkan Anugerah Pengulas Sukan Popular dengan enam calon telah dikenal pasti hasil perbincangan bersama dengan pihak berkaitan dan pemenang akan ditentukan menerusi undian orang ramai.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com