SUNGAI PETANI – Dewan Pemuda Pas Kedah mencadangkan supaya majlis akad nikah di negeri ini dibenarkan semula dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah memasuki fasa ketiga.
Ketua Pemuda Dewan Pemuda Pas Negeri Kedah, Nurul Amin Hamid berkata, pihaknya telah menghantar surat kepada Mufti Negeri Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang mengenai cadangan tersebut.
Menurutnya, majlis akad nikah itu boleh dijalankan dengan kaedah dan peraturan ketat seperti digariskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysi (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Kita akui tempoh PKP amat penting bagi memastikan rantaian jangkitan COVID-19 dapat diputuskan dalam masa yang sama memelihara maqasid syariah, perlu banyak pihak memberikan pandangan demi kebaikan pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan di sini petang ini.
Nurul Amin memberitahu, dalam surat tersebut, pihaknya mengemukakan dua bentuk pandangan kepada Mufti Kedah berhubung dengan cadangan berkenaan.
“Semoga pihak Mufti Negeri Kedah dan pihak -pihak berkaitan mendengar suara kami mewakili suara rakyat,” katanya lagi. – KG