KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan bersetuju menyalurkan bantuan segera RM800 juta
agi mengatasi masalah gangguan bekalan air di Kelantan dan Sabah.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata ia merupakan sebahagian daripada kos keseluruhan mencecah RM5 billion bagi tujuan itu.
Katanya kerajaan akan memulakan langkah untuk mereformasi model industri air di seluruh negara agar lebih mampan dan holistik, berikutan isu berhubung kait dengan air tidak berhasil (NRW) masih menyelubungi beberapa negeri yang menjadi cabaran kepada penyediaan bekalan air yang cekap kepada rakyat.
“Dalam Rancangan Malaysia Ke-12, kerajaan telah memberi komitmen untuk membiayai projek tebatan banjir dengan kos mencecah hampir RM22 bilion. Keperluan peruntukan yang begitu besar bagi mengatasi masalah rakyat ini memberikan kewajaran untuk kerajaan menguruskan isu air dan banjir secara holistik dan bersepadu.
“Kerajaan juga akan terus meneroka kawasan yang bersesuaian bagi pengekstrakan sumber air bawah tanah dengan membina lebih banyak telaga tiub dan pembinaan empangan bawah tanah,” katanya semasa membentangkan usul Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) 2021-2025 di Parlimen, di sini hari ini.
Selain itu, beliau berkata usaha akan digembleng untuk menyediakan sumber air mentah yang mencukupi melalui projek Takungan Air Pinggiran Sungai, yang akan dapat memastikan keterjaminan bekalan air bersih dan selamat kepada rakyat selaras dengan Agenda Transformasi Sektor Air 2040.
Anwar berkata akta berkaitan pencemaran sumber air dan industri perkhidmatan air akan dikaji semula agar hukuman yang setimpal terhadap pihak tidak bertanggungjawab yang melepaskan sisa tercemar ke dalam sungai bagi menjamin kemampanan sumber dan perkhidmatan air bersih untuk kegunaan rakyat.
Menyentuh bencana banjir dan tanah runtuh yang sering berlaku, beliau berkata Pusat Bencana Geologi Negara akan ditubuhkan pada akhir tahun ini bagi memantau tahap keberkesanan sistem amaran awal bencana tsunami, banjir dan tanah runtuh, sekali gus meningkatkan kecekapan tindak balas bencana demi memastikan keselamatan rakyat.
Katanya Dasar Pengurusan Bencana Negara di bawah kawal selia Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan disemak semula untuk memperkukuh kesiapsiagaan dan meningkatkan keupayaan menguruskan bencana.
Sementara itu, usaha khusus bagi melindungi spesies Harimau Malaya (panthera tigris jacksoni) yang kini kian terancam akan dipertingkatkan bagi memastikan keseimbangan ekosistem agar kemampanan alam terjamin.
“Pada masa yang sama, penguatkuasaan dalam menangani jenayah pemburuan haram, memperluas kawasan perlindungan, serta mendayai komuniti tempatan akan diperhebat dalam usaha melindungi hidupan terancam yang lain seperti gajah, orang utan, penyu, seladang dan tapir,” katanya.
Selain itu, beliau berkata kerajaan juga akan menggubal perundangan mengenai perubahan iklim untuk mengawal selia pelaksanaan dasar bagi memenuhi kewajipan perubahan iklim negara.
Anwar berkata ia adalah antara inisiatif kerajaan dalam pembangunan rendah karbon, bersih dan berdaya tahan, mengurus sumber asli dengan cekap serta memperkukuh pemboleh daya untuk melonjakkan kemampanan.
“Rangka kerja yang menyeluruh akan disediakan bagi mempercepat peralihan kepada ekonomi kitaran yang dapat menjamin ketahanan ekonomi jangka panjang. Kerajaan juga sedang melaksanakan kajian harga karbon untuk menilai ketersediaan negara bagi melaksanakan cukai karbon dan sistem perdagangan karbon,” katanya.
Beliau berkata kerajaan juga akan mempermudah pembinaan hab bahan mentah biojisim serta akses pembiayaan berikutan kepentingan mengurus biojisim dengan cekap, bukan sahaja demi menangani isu perubahan iklim, bahkan mampu dimanfaatkan sebagai sumber ekonomi baharu,” katanya.