KUALA KEDAH – Lebih 100,000 keluarga peniaga kecil dan penjaja di seluruh negeri ini mendakwa mereka menderita akibat hilang pendapatan selepas kerajaan mengeluarkan arahan perintah kawalan pergerakan selama dua minggu bermula 18 Mac lalu hingga 31 Mac ini.
Ahli Parlimen Kuala Kedah, Dr. Azman Ismail berkata, para peniaga dan penjaja mendakwa mereka merasa bimbang, gusar serta resah kerana tidak akan dapat berniaga dalam tempoh tersebut.
“Kebimbangan mereka adalah di atas sebab-sebab berikut iaitu mereka hanya ada pendapatan bila berniaga. Tidak berniaga bermakna tiada pendapatan.
“Stok barang-barang perniagaan yang telah dibeli akan rosak. Kerugian daripada stok yang rosak boleh membangkrapkan sebahagian peniaga kecil.
“Kebanyakan peniaga kecil atau penjaja berhutang dengan ejensi pemberi pinjaman seperti Tekun, Mara dan juga berhutang dari Ah Long.
“Malah komitmen untuk bayaran gaji pekerja, premis perniagaan dan utiliti tidak dapat dilunaskan bila tidak berniaga,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Pertubuhan Ikhlas Cawangan Negeri Kedah, Sharjakhan Abu Bakar dan wakil Pertubuhan Usahawan Kedah Baharu, Firdaus Ahmad Shater.
Sehubungan itu, Dr. Azman berkata, para peniaga kecil dan penjaja berkenaan telah membuat beberapa rayuan melalui wakil-wakil mereka di dalam pertemuan yang diadakan di sini semalam.
Jelas beliau, antara rayuan para peniaga kecil dan penjaja itu adalah bantuan kewangan khusus untuk peniaga kecil dan penjaja dari kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri seperti bantuan one off RM 600 untuk pekerja-pekerja yang terpaksa bercuti tanpa gaji.
“Mereka juga meminta supaya diberikan keringanan pembayaran kembali hutang oleh ejensi-ejensi pemberi pinjaman.
“Selain itu, mohon supaya premis sewaan Pihak Berkuasa Tempatan, Mara dan ejensi-ejensi lain dikecualikan bayaran untuk bulan Mac dan juga sepanjang tempuh kawalan pergerakan dijalankan,” katanya. – KG