Thursday, 25, April, 2024
Utama Negeri BDB bina 3,000 rumah pelbagai jenis mampu milik

BDB bina 3,000 rumah pelbagai jenis mampu milik

oleh Ammar Haziq
Sanusi (tiga kanan) mendengar penerangan tentang projek baharu BDB di Bandar Darulaman.

JITRA –  Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB) akan membangunkan dua projek pembangunan iaitu Perbandaran Mampu Milik Darulaman Saujana dan serta Pelan Induk Pembangunan Bandar Darulaman 3.0 di Daerah Kubang Pasu, Kedah.


Perancangan pembangunan kedua-dua projek berkenaan dilihat akan membawa  lembaran baru kepada Daerah Kubang Pasu sekaligus merancakkan lagi pembangunan dan ekonomi Negeri Kedah untuk tempoh lapan ke 10 tahun akan datang.


Pengerusi BDB, Sr Haji Che Had Dhali berkata bagi projek Perbandaran Darulaman Saujana, Kumpulan BDB sebagai pemain utama dalam sektor pembangunan hartanah di Kedah menyedari ke atas permintaan rumah mampu milik yang semakin meningkat dari hari ke hari terutamanya melibatkan golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) di negeri ini.


Menurut beliau, Perbandaran Darulaman Saujana bakal dibina di atas tanah seluas 206.32 ekar dan akan memfokuskan kepada pembangunan perumahan mampu milik dan perumahan Dasar Kerajaan Negeri Kedah di daerah Kubang Pasu serta dijangka akan dimulakan pada suku ketiga 2023.


“Dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM 667.5 juta, hampir 3,000 unit rumah pelbagai jenis bakal dibina di Perbandaran Darulaman Saujana dan apabila siap kelak, ia dijangka akan mempunyai lebih dari 14,000 orang penduduk.


“Antara komponen utama pembangunan adalah pembinaan 1,438 unit rumah teres  satu tingkat dan 192 unit rumah kluster berkembar satu tingkat yang akan dibina secara berfasa.Selain itu, Dasar Perumahan Negeri Kedah juga menjadi keutamaan di mana Kumpulan BDB berhasrat untuk membina  582 unit Rumah Kasih Rakyat dan 234 unit Rumah Aman Kedah dan 512 unit Rumah Makmur Kedah.


“Di samping itu,  terdapat lot perniagaan yang terdiri daripada 21 unit kedai pejabat  satu tingkat dan 30 unit kedai pejabat  dua tingkat, serta  dua lot tapak stesen minyak serta kemudahan awam dan infrastruktur seperti tapak masjid, tapak sekolah, tapak dewan serbaguna, tapak tabika, padang permainan dan kemudahan lanskap serta lokasi tumpuan riadah turut akan disediakan,” katanya.


Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Pelancaran Perbandaran Mampu Milik Darulaman Saujana Dan Pelan Induk Bandar Darulaman 3.0 di sini hari ini.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.


Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Norizan Khazali, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan Negeri, Dr Robert Ling Kui Ee, Pegawai Daerah Kubang Pasu, Muhamad Mahazi Ibrahim serta Pengarah Eksekutif Kumpulan BDB, Raja Shahreen Raja Othman.


Sementara itu, Sr Che Had turut menjelaskan bahawa Bandar Darulaman iaitu perbandaran pertama yang telah dibangunkan oleh Kumpulan BDB sejak tahun 1984 di atas tanah seluas 2,220 ekar akan menerima sebuah lagi rancangan pembangunan 8 tahun iaitu Bandar Darulaman 3.0.


Ujar beliau, dengan anggaran nilai GDV keseluruhan berjumlah RM 740 juta, antara rancangan pembangunan Bandar Darulaman 3.0 adalah Dataran Darulaman, Darulaman Park, dan Darulaman Hills di mana Kumpulan BDB meletakkan keyakinan penuh bahawa rancangan pembangunan ini bakal menjadikan ia sebuah perbandaran yang lebih moden dan maju.


Tegas Sr Che Had lagi, teras utama pembangunan Bandar Darulaman 3.0 adalah berkonsepkan kelestarian alam yang memberikan keutamaan kepada pengunaan tenaga boleh diperbaharui secara efektif serta menerapkan elemen rendah karbon dalam setiap aspek pembangunan.


“Fasa pertama pembangunan iaitu Dataran Darulaman akan melibatkan pembangunan di atas tanah seluas 4.07 ekar di mana 4 buah bangunan komersial dengan setiap satunya berkeluasan 6,000 kaki per segi, termasuk sebuah menara korporat bakal dibina di Dataran Darulaman.


“Fasa kedua pembangunan pula akan menyaksikan transformasi keseluruhan Darulaman Park di mana sebuah hub pembangunan bercampur di Bandar Darulaman akan dibangunkan di atas seluas 87.11 ekar melibatkan pembinaan pusat membeli belah, pangsapuri perkhidmatan 12 tingkat, pangsapuri 5 tingkat, pangsapuri 18 tingkat, rumah bandar 3 tingkat, dan hospital pakar, dengan kapasiti 100 buah katil.


“Fasa pembangunan terakhir adalah sebuah projek perumahan di Darulaman Hills  di mana 262 unit rumah banglo 2 tingkat akan dibangunkan di atas tanah seluas 94.91 ekar dengan berlatarkan kehijauan dan keindahan alam semula jadi serta menitik-beratkan pengekalan bentuk mukabumi semulajadi,”ujarnya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com