Friday, 22, November, 2024
Utama Negeri Saya dengan ikhlas dan suci hati memohon maaf kepada pihak polis – Nursahira

Saya dengan ikhlas dan suci hati memohon maaf kepada pihak polis – Nursahira

oleh Wartawan Kedah Gazette

PENDANG – Seorang remaja melahirkan kekesalan di atas kesalahannya mengeluarkan perkataan jelek kepada polis melalui Facebooknya selepas diarah pulang ke rumah ketika anggota terbabit melakukan pemantauan Ops COVID-19 di tepi jalan Pendang-Kobah, Batu Menunggul di sini pada 27 Mac lalu.

Remaja terbabit, Nursahira Mohd. Mizuar, 20, juga berjanji akan mengubah kelakuan menjadi wanita yang lebih baik.

Pembantu kedai itu berkata, dia mengakui sifat marah dan suka meluahkan perasaan di sedia sosial perlu dielakkan kerana ia boleh memberi kesan negatif dalam hidup.

“Saya dengan ikhlas dan suci hati memohon maaf kepada pihak polis di atas kesilapan dan kekhilafan saya dalam mengeluarkan kenyataan menghina polis melalui Facebook sebelum ini.

“Saya menyesal dan telah insaf di atas kesilapan saya. Saya harap permohonan maaf ini diterima dan saya berjanji tidak akan mengulangi lagi sikap tersebut,” katanya katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Kiara Mas di sini hari ini.

Nursahira Mohd. Mizuar minta maaf kepada polis dan kesal terhadap kesalahannya.

Mahkamah Sesyen pada 31 Mac lalu, menjatuhkan hukuman denda RM10,000 dan penjara tiga bulan selepas Nursahira mengaku bersalah atas tuduhan membuat dan memulakan komunikasi jelik melalui aplikasi Facebook dengan niat menganiaya orang lain di sebuah rumah di Persiaran Kiara Mas, Pendang, pada jam 10.12 malam, 27 Mac lalu.

Bagaimanapun remaja tersebut dibenarkan Mahkamah Tinggi menangguhkan sementara hukuman penjara tiga bulan dan denda RM10,000 atau dua bulan penjara ke atasnya itu pada 9 April lalu.

Anak sulung daripada dua beradik itu dikehendaki melaporkan diri ke Balai Polis Pendang setiap dua minggu selepas dibenarkan ikat jamin sebanyak RM5,000 bersama dua orang penjamin.

Ibu bapanya, Mizuar Md. Isa, 49, dan Rosnani Awang Kechil, 52, turut memohon maaf kepada pihak berkuasa di atas tindakan yang dilakukan oleh anak mereka.- KG

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com