KREDIT UUM ONLINE
SINTOK – Berkat kesabaran menanti peluang untuk bertemu ahli keluarga, seramai 309 pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) telah selamat berlepas pulang ke kampung halaman pada petang ini.
Daripada jumlah tersebut, 207 pelajar menaiki bas dan van yang disediakan universiti, manakala selebihnya menaiki kenderaan sendiri menuju ke destinasi masing-masing melibatkan sekitar negeri Kedah dan Pulau Pinang.
Proses penghantaran pelajar yang bermula jam 11.30 pagi itu dimulakan dengan sesi pendaftaran dan saringan kesihatan oleh Pusat Kesihatan Universiti (PKU) sebelum penghantaran pulang pelajar pada jam 3 petang dengan disaksikan Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Ahmad Bashawir Abdul Ghani di Dewan Mu’adzam Shah.
Naib Canselor berkata, beliau bersyukur kerana akhirnya pelajar-pelajar universiti ini dibenarkan pulang ke kampung halaman masing-masing berkat kesabaran mereka.
Menurutnya, UUM telah mematuhi segala SOP yang ditetapkan kerajaan dengan memastikan tahap kesihatan pelajar berada dalam keadaan baik, malah pelajar ini juga menunjukkan disiplin tinggi dengan mematuhi setiap arahan yang dikeluarkan dari semasa ke semasa.
“Saya juga berterima kasih kepada semua petugas yang bekerja siang dan malam selama hampir dua bulan bagi memastikan keselamatan pelajar adalah terkawal serta anggota polis dan bomba yang banyak membantu dalam proses penghantaran pulang pelajar sejak semalam.
“Sudah pastinya juga, pelajar yang tidak sabar untuk bertemu ahli keluarga pada hari ini dan berbuka puasa serta bersahur bersama setelah sekian lama mereka tidak berjumpa,” katanya.
Prof. Dato’ Dr. Ahmad Bashawir berkata, walaupun pelajar sudah dibenarkan pulang tetapi adalah diingatkan supaya mereka tidak melupakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara atas talian (online) yang sudah bermula sejak 27 April lalu.
Menurutnya, pelajar tidak harus leka kerana semester ini belum berakhir dan masih terdapat baki tempoh pengajian kira-kira dua bulan lagi bagi melengkap semester tersebut termasuk ulangkaji dan peperiksaan.
“Sekiranya menghadapi sebarang masalah untuk akses internet, pastikan berhubung atau berkomunikasi dengan pensyarah supaya sistem online atau remote learning yang dilaksanakan universiti dapat berjalan lancar.
“Saya berharap pelajar dapat menjaga kesihatan dan menjaga kebersihan diri dan sentiasa berada di rumah kerana peraturan Perintah Kawalan Pergerakan masih dikuat kuasakan sehingga keadaan kembali pulih,” katanya.