ĹANGKAWI – Penumpang feri dari Langkawi ke Kuala Perlis tidak berpuas hati kerana mereka perlu memohon kebenaran rentas negeri sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang sedang berkuat kuasa sekarang.
Sebaliknya, penumpang feri mendakwa penumpang dari pulau ini ke Kuala Kedah pula tidak perlu berbuat demikian kerana ia dianggap hanya perjalanan antara daerah dalam negeri yang sama.
Sehubungan itu, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Langkawi, Nor Saidi Nanyan berkata, kerajaan wajar mempertimbangkan semula keperluan memohon kebenaran rentas negeri daripada pihak polis bagi penumpang feri Pulau Langkawi ke Kuala Perlis.
Menurutnya, beliau memohon pertimbangan agar perjalanan ke Kuala Perlis diselaraskan kerana jarak ke Kuala Perlis lebih dekat dan perjalanan laut lebih cepat, di samping itu banyak kemudahan seperti RORO, kereta sewa yang tidak memerlukan masa menunggu yang lama di Kuala Perlis.
Katanya, apa yang penting Langkawi, Kuala Kedah dan Kuala Perlis merupakan zon hijau COVID-19.
“Banyak hal kecemasan seperti kematian, sakit dan masalah keluarga melalui Kuala Perlis kerana lebih dekat.
“Keperluan mendapatkan surat kebenaran daripada Polis menyukarkan sedikit urusan apatah lagi hal yang memerlukan kesegeraan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Nor Saidi berkata, beliau berharap pihak berwajib negeri Kedah dan Perlis, MKN, KKM dan PDRM menimbang cadangan ini.
Tambahnya, langkah tersebut juga akan membantu mengurangkan ramai yang beratur di Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi serta membantu mengurangkan beban Polis Langkawi. – KG