KUALA NERANG – Tindakan seorang lelaki yang membawa kereta dalam keadaan mencurigakan membawa kepada penemuan 600 kg daun ketum yang diletakkan di tempat duduk penumpang dan bahagian belakang kereta tersebut pada 26 Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan, Mulkiaman Manzar berkata, penahanan itu dilakukan di Jalan Kampung Tanah Merah, Pedu, Kuala Nerang pada jam 12 tengahari dan anggaran rampasan bernilai RM10,000.
“Polis menemui 60 plastik hitam yang mengandungi plastik lutsinar berisi daun hijau dipercayai daun ketum. Setiap plastik dianggarlan berat sekitar 10 kg.
“Lelaki ini berusia 36 tahun, bekerja sendiri dan suspek kali pertama ditangkap polis. Hasil siasatan awal suspek mendapatkan bekalan dari kebunnya sendiri di Kampung Tanah Merah, Pedu,”katanya.
Mulkiaman berkata, suspek juga bertindak sebagai peraih dan membeli daun ketum tersebut dari penduduk kampung dengan harga RM6 setiap kg.
jelasnya, suspek dipercayai mahu menghantar bekalan daun ketum itu ke Padang Besar, Perlis sebelum kegiatannya berjaya dipatahkan oleh pihaknya.
“Suspek telah direman sejak 27 Ogos lalu untuk bantu siasatan. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman denda sehingga RM10,00 atau dipenjarakan selama empat tahun,”katanya. – KG