ALOR SETAR – Laman Facebook Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) diserang oleh netizen yang mempersoalkan pemilihan logo yang menjadi juara pertandingan mencipta logo baharu pasukan Kedah sedangkan tidak berada dalam senarai ‘top3’ pada hari ini
Pemenang tersebut telah diumumkan oleh Presiden KFA, Muhammad Sanusi Md Nor hari ini dan penciptanya, Ku Basri Ku Halim bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 bagi mengenepikan penyertaan lebih 900 logo lain.
Bagaimanapun pemiihan tersebut turut mendapat kritikan netizen kerana logo yang muncul juara tersebut tidak berada dalam senarai akhir ‘top3’ yang diumumkan kira-kira dua minggu lalu.
Biarpun sebahagian besar menyambut baik pemilihan logo yang mirip logo legasi sebelum ditukarkan kepada logo Lang Merah, namun sebahagian pula meminta KFA memberikan penjelasan.
Sementara itu, Muhammad Sanusi pada sidang media hari ini mengakui dalam isu pemilihan logo terbabit pasti akan timbul ketidakpuasan hati yang tidak dapat dielakkan.
“Logo ini sesuatu yang abstrak dan subjektif, namun kita telah melaksanakan pemilihan ini dengan sebaiknya dan semua pihak yang terlibat bersetuju bahawa logo ini adalah yang terbaik,” katanya.