TEKS/FOTO MARITIM MALAYSIA
KUALA MUDA, 19 Januari – Tiga nelayan berdepan detik cemas apabila bot yang dinaiki mengalami kerosakan enjin dan bocor pada jarak kira-kira 31 batu nautika barat Pulau Sayak, lewat petang semalam.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah Komander Maritim Noor Azreyanti binti Ishak berkata, Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi menerima aduan sekitar jam 5.45 petang dan mengaktifkan operasi CARILAMAT dengan mengatur gerak bot PERKASA 24 ke lokasi.
Mangsa Awang bin Mat Shah, 63, dilaporkan keluar menangkap ikan pada petang 17 Januari kelmarin bersama dua kru, Sazali bin Seman dan Nik Man bin Mahat masing-masing berusia 53 tahun dengan menaiki sebuah bot nelayan tempatan kelas A.
Dalam kejadian petang semalam bot mangsa dipercayai mengalami kerosakan enjin dan mengalami kebocoran ketika sedang menangkap ikan.
Usaha menyelamat melibatkan bot PERKASA 24 Maritim Malaysia dan mengambil masa hampir dua jam berikutan cuaca buruk.
Ketiga-tiga nelayan berjaya diselamatkan pada jam 7.50 malam dan tidak mengalami sebarang kecederaan. Mangsa kemudianya dibawa ke jeti awam Tanjung Dawai dan diserahkan kepada keluarga masing-masing.
Maritim Malaysia mengingatkan semua yang berhasrat melakukan aktiviti di laut agar mengambil langkah-langkah keselamatan seperti memakai jaket keselamatan, merujuk ramalan kaji cuaca, memastikan bot dalam keadaan baik, membawa Personal Locator Beacon (PLB), maklumkan destinasi anda kepada ahli keluarga, membawa bekalan makanan secukupnya serta mengelakkan aktiviti di luar kawasan liputan telekomunikasi.
Noor Azreyanti berkata, sebarang aduan dan kes kecemasan di laut boleh dilaporkan melalui talian 24 jam MERS atau menghubungi Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.