Friday, 22, November, 2024
Utama Negeri MBAS, kontraktor bina penempatan baharu sementara anjing, kucing

MBAS, kontraktor bina penempatan baharu sementara anjing, kucing

oleh Ammar Haziq
Hampir 400 ekor anjing terbiar berada di Pusat Pemeliharaan Anjing dan Kucing Pak Mie Shelter di Jalan Tanjung Bendahara, Alor Setar.

Alor Setar, 11 Februari 2021 – Susulan daripada notis yang dikeluarkan oleh MBAS di bawah Seksyen 46 (1) (a) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) bertarikh 28 Januari 2021 kepada pemilik binaan kandang anjing dan kucing di Tanjung Bendahara, Alor Setar, Kedah, MBAS telah mengadakan suatu mesyuarat penyelarasan perpindahan Pusat Pemeliharaan Anjing dan Kucing Pak Mie Shelter.

Mesyuarat ini telah dipengerusikan oleh Yang Berbahagia Dato’ Zaid bin Ahmad, Datuk Bandar Alor Setar dan telah dihadiri oleh wakil daripada Jabatan
Perkhidmatan Pembetungan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kedah dan Encik Badrul Hisham Ramli dari Pak Mie Shelter.


Mesyuarat sebulat suara bersetuju perpindahan Pusat Pemeliharaan Anjing dan Kucing Pak Mie Shelter ini akan ditempatkan secara sementara di Jeragan iaitu di atas sekeping tanah milik MBAS.

Mengambil inisiatif sebagai suatu tanggungjawab sosial korporat, kontraktor yang
dilantik oleh Jabatan Perkhidmatan Pembetungan iaitu Syarikat UCM Construction Sdn Bhd akan membina papan dendeng (hoarding) dan lantai simen di tapak sementara pusat pemeliharaan anjing dan kucing.

Hampir 400 ekor anjing terbiar berada di Pusat Pemeliharaan Anjing dan Kucing Pak Mie Shelter di Jalan Tanjung Bendahara, Alor Setar.

Kerja-kerja pembinaan tapak sementara pusat pemeliharaan anjing dan kucing ini akan bermula pada 15 Februari 2021 dan dijangka siap pada 17 Februari 2021.

Skop dan spesifikasi tapak sementara pusat pemeliharaan anjing dan kucing ini akan
dibuat berdasarkan pandangan dan ulasan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kedah.


MBAS dengan bantuan daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kedah
memperuntukkan tempoh dua hari bagi kerja-kerja perpindahan anjing dan kucing ke tapak sementara ini bermula pada 18 Februari 2021 hingga 19 Februari 2021.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kedah akan memberi suntikan rabies ke atas setiap ekor anjing yang dipindahkan dan kos suntikan ini ditanggung sepenuhnya oleh MBAS.


Dengan perpindahan anjing dan kucing ini ke tapak sementara yang telah disediakan oleh MBAS maka semua haiwan ini adalah hak milik MBAS sepenuhnya. Bagaimanapun, Pak Mie Shelter diberikan hak untuk mengurus tadbir tapak sementara pusat pemeliharaan anjing dan kucing ini selama tempoh enam bulan bermula pada 15 Februari 2021 hingga 14 Ogos 2021.


Suatu ikatan perjanjian pengurusan akan ditandatatangani antara MBAS dan Pak Mie Shelter berkaitan perkara ini.


Orang ramai yang berminat untuk membela mana-mana anjing dan kucing yang berada di tapak sementara pusat pemeliharaan anjing dan kucing di Jeragan adalah dialu-alukan.


Sebarang pertanyaan boleh hubungi Tuan Hj Halim bin Md. Akhir, Pengarah Jabatan Kesihatan Persekitaran, MBAS melalui nombor telefon 04-7323952.


Dikeluarkan oleh:
Pejabat Datuk Bandar
Majlis Bandaraya Alor Setar
11 Februari 2021

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com