Friday, 22, November, 2024
Utama Negeri Kementerian kewangan diharapkan cepat lulus SST bagi atasi masalah air Kedah

Kementerian kewangan diharapkan cepat lulus SST bagi atasi masalah air Kedah

oleh Ammar Haziq
Muhammad Sanusi

ALOR SETAR – Pembinaan lima Loji Rawatan Air (LRA) di Kedah perlu disegerakan dalam usaha untuk mengatasi masalah air di negeri ini yang telah berlarutan sejak sekian lama.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berharap Kementerian Kewangan dapat menyegerakan surat setuju terima (SST) bagi membolehkan pembinaan LRA dapat dimulakan segera.

Menurutnya, LRA tersebut adalah di Bukit Selambau, Sungai Limau, Jenun Baru dan Lubuk Buntar Lama manakala Pelubang akan dibina dengan pinjaman kewangan.

“Air terawat tanpa hasil (NRW) kita sekarang ini mencapai 48 peratus. Terdapat beberapa cadangan bagi mengatasi NRW secara holistik untuk menurunkan daripada 48 peratus kepada 30 peratus.

“Kita nak capai proses menurunkan NRW ni selari dengan pembinaan lima LRA untuk elak lebih banyak kehilangan air,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) baru-baru ini.

Dalam pada itu, Menteri Besar berkata, sebanyak 25 lori berkapasiti 1200 gelen dan 3 lori jumbo berkapasiti 12 ribu sehingga 13 ribu gelen telah digerakkan bagi membuat agihan air di kawasan yang mengalami masalah air di Merbok, Tanjung Dawai dan Gurun yang melibatkan kira-kira 3000 akaun pengguna.

“Loji air tidak dapat memenuhi permintaan air bersih kerana kawasan tadahan air Gunung Jerai diancam penyusutan air mentah setelah ditimpa musim kemarau sejak pertengahan Januari lalu,”katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com