PUTRAJAYA – Penularan kes Covid-19 yang masih tinggi ketika ini menyaksikan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mencadangkan pergerakan rentas negeri bagi sambutan Aidilfitri tahun ini ditangguhkan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, banyak pihak merayu kepada Kerajaan untuk merentas negeri namun KKM mencadangkan perkara sebaliknya.
“Kes masih lagi di tahap membimbangkan kerana kes harian meningkat dan tidak stabil. Pergerakan (rentas negeri) perlu ditangguhkan.
“Kini terdapat varian baharu di dalam komuniti dan pada waktu yang sama juga program vaksinasi masih lagi berjalan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan buku ‘Malaysia Health Sector Response to Covid-19: Perspectives From The Field’, di pejabatnya, di sini pada Khamis.