Monday, 6, May, 2024
Utama Negeri Maritim Kuala Kedah rampas 28 bubu naga bernilai RM3,360

Maritim Kuala Kedah rampas 28 bubu naga bernilai RM3,360

oleh Ammar Haziq
28 Set bubu naga yang berjaya dirampas oleh Maritim Kuala Kedah. – FOTO Maritim Kuala Kedah

ALOR SETAR, 17 April – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah merampas 28 set bubu kambang atau bubu naga (China prawn net trap) pada jarak kira-kira 1.0 batu nautika di perairan Kuala Kuar, Kuala Kedah awal pagi tadi.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti binti Ishak berkata, pihaknya menerima aduan awam mengenai aktiviti dan penggunaan bubu naga yang aktif di perairan negeri Kedah.

Berikutan itu, rondaan rutin telah mengesan aktiviti ini melalui penemuan pancang penanda yang dipasang bubu naga berukuran lebih kurang 10 meter panjang di beberapa lokasi berbeza sepanjang perairan Kuala Kuar sekitar jam 1.00 pagi tadi.

Kesemua bubu tersebut yang dianggarkan bernilai RM3,360 dirampas dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk disiasat mengikut Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985.

Nelayan diingatkan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang telah diperuntukan. Zon Maritim Kuala Kedah tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang di dalam kawasan perairan negara.

Penggunaan bubu naga diharamkan kerana sifatnya yang tidak selektif dan boleh merosakkan ekosistem perairan serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan lain.

Pihak Zon Maritim Kuala Kedah juga mengalu-alukan aduan mengenai sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 05-7310579.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com