ALOR SETAR – Polis telah terima satu laporan polis dari seorang lelaki menyatakan telah menerima video yang di hantar melalui aplikasi whatsapp dari
rakannya mengenai seseorang sedang membakar Al-Qur’an pada jam 12.25 tengah malam pada pagi Selasa
Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, Pengadu mendapat tahu dari rakannya kejadian dalam video tersebut berlaku di bersebelahan tandas awam berhampiran bangunan Tabung Haji Pekan Kuala Nerang.
Menurutnya, pengadu bersama dua rakannya terus ke lokasi kejadian dan dapati tiada sesiapa dilokasi tersebut namun menjumpai cebisan Al-Quran yang
dibakar.
“Berdasarkan laporan tersebut satu kertas siasatan telah dibuka.
Siasatan awal pihak polis di tempat kejadian mendapati kejadian berlaku di sisi
belakang sebuah tandas awam di Pekan Kuala Nerang Kedah.
“Tempat kejadian adalah adalah terbuka dan tiada cctv berhampiran. Kejadian berlaku di depan rumah kedai suspek yang di syaki. Siasatan di tempat kejadian juga telah merampas sisa bakaran Tafsir Quran Karim.
Hasil siasatan yang dijalankan dan keterangan dari saksi-saksi yang terlibat,
tangkapan seorang lelaki berusia 36 tahun telah dibuat di Pekan Kuala Nerang. Pihak Polis turut merampas 2 unit telefon bimbit, 1 unit pemetik api dan sepasang selipar yang
dipercayai digunakan semasa kejadian,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, siasatan juga mendapati motif perbuatan suspek adalah disebabkan perasaan marah dan kecewa dengan kekasihnya seorang wanita Islam yang telah berubah hati dan naskhah tafsir Al-Quran yang dibakar tersebut adalah hadiah
pemberian wanita tersebut.
“Menurut suspek beliau tidak berniat untuk menyentuh sensitiviti agama dan telah ditahan reman bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut seksyen 435/295 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 14 tahun dan denda bagi kesalahan seksyen 435 Kanun Keseksaan manakala hukuman penjara 2 tahun, denda atau kedua-duanya bagi kesalahan seksyen 295 Kanun Keseksaan,” ujarnya.
Tambah beliau, kertas siasatan akan dirujuk pada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan pendakwaan.
“Pihak polis menasihati orang ramai agar berhati-hati dalam melakukan sebarang tindakan yang boleh memecahkan keamanan dan memudaratkan ketenteraman awam,” katanya.