Friday, 3, May, 2024
Utama Umum Jasa besar Pak Mat Bisting kepada pendidikan Kedah

Jasa besar Pak Mat Bisting kepada pendidikan Kedah

oleh Ammar Haziq
Lakaran potret Ahmad Mohamad Saman atau lebih dikenali sebagai Pak Man Bisting.

Nama Allahyarham Ahmad Mohamad Saman mungkin kurang dikenali orang ramai di Kedah. Namun jika disebut nama Pak Mat Bisting, orang-orang Melayu dahulu sebelum Malaysia merdeka di negeri Kedah sangat menghormati susuk tubuh individu ini.


Gelarannya itu merujuk kepada jawatannya sebagai ‘visiting teacher’ (guru pelawat) bagi sekolah-sekolah Melayu di negeri jelapang padi ini. Namun disebabkan oleh susahnya orang Melayu untuk menyebut perkataan ‘visiting’, maka disesuaikan dengan Bisting.


Jasa Ahmad yang berasal dari Pulau Betong, Pulau Pinang ini cukup besar dalam pendidikan negeri Kedah khususnya. Beliau dilantik sebagai guru pelawat sebelum mengundurkan diri pada 1925 daripada bidang pendidikan di negeri ini.

Mohd Shatri Ahmad, 88.


Difahamkan beliau antara pengasas sekolah-sekolah Melayu di Kedah dan telah memimpin selama 21 tahun guru-guru di negeri ini dengan membawa banyak pembaharuan kepada sekolah-sekolah Melayu .

Antara kemajuan pendidikan yang telah dibawa ketika itu adalah seni anyaman tangan, pertukangan, bercucuk tanam dan banyak lagi. Anak Allahyarham Ahmad, Mohd Shatri, 88 berkata, bapanya seorang yang berperwatakan tegas di dalam setiap pekerjaan yang dilakukan olehnya.

“Apa yang saya ingat, arwah bapa adalah seorang yang cengei (tegas) namun dihormati oleh semua orang pada waktu itu. Jasanya yang cukup besar dalam pendidikan Kedah menyebabkan beliau diberi penghormatan sedemikian.

Ucapan penghargaan kepada Pak Man Bisting semasa hari persaraan pada tahun 1925.


“Generasi muda hari ini tentu tidak mengenali siapa Pak Mat Bisting, tetapi jika ditanya pada orang-orang lama mereka kenal namun kelibat mereka seorang demi seorang sudah tiada kerana telah dijemput Ilahi,” katanya ketika ditemui Kedah Gazette di kediamannya di Pendang baru-baru ini.


Menurutnya, selain berjasa besar kepada pendidikan Kedah, Pak Mat Bisting juga mempunyai minat dalam bidang kemasyarakatan termasuk dipertanggungjawab menguruskan Temasya sempena 50 tahun Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah sebagai Sultan Kedah pada waktu itu.

“Arwah bapa meninggal pada 1983 pada usia 85 tahun. Saya juga mengikut jejak arwah bapa untuk menjadi seorang guru pada tahun 1949 dan bersara pada tahun 1988 pada usia 55 tahun,” ujarnya.


Tambahnya, khidmat bakti Pak Mat Bisting dalam bidang kemasyarakatan turut ‘turun’ kepada salah seorang cucunya, Datuk Haji Awang Hashim yang kini merupakan Ahli Parlimen Pendang. – KG

Dari kanan, Awang dan Mohd Shatri. Gambar kecil : Lakaran potret Ahmad Mohamad Saman atau lebih dikenali sebagai Pak Man Bisting.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com