Friday, 22, November, 2024
Utama Negeri Padah tangkap ikan luar kawasan

Padah tangkap ikan luar kawasan

oleh Ammar Haziq
Bot KHF 2020

SIARAN MEDIA MARITIM MALAYSIA

LANGKAWI, 14 Julai – Dua bot nelayan tempatan Kelas C yang disyaki melakukan pelbagai kesalahan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis di sekitar perairan Langkawi dalam tempoh 24 jam.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi bin Abdullah berkata, kedua-dua bot tersebut ditahan menerusi rondaan bersepadu OP BENTENG dan OP AMAN bagi mengekang pencerobohan serta jenayah maritim di utara perairan negara.

Dalam kejadian pertama sekitar 11.44 pagi semalam, Kapal Maritim (KM) TENGGOL telah mengesan sebuah bot nelayan tempatan Kelas C sedang bergerak dalam keaadan mencurigakan berhampiran Pulau Singa Besar dan ketika dihampiri mendapati mereka sedang melakukan aktiviti menangkap ikan di luar kawasan yang dibenarkan dengan menggunakan pukat tunda pada kedudukan 12.7 batu nautika barat daya, Pulau Singa Besar, Langkawi.

Pemeriksaan mendapati, bot Kelas C dengan nombor pendaftaran KHF 2788 itu dikendalikan tiga kru termasuk tekong warga Thailand berumur antara 45 hingga 61 tahun yang memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

Manakala dalam kejadian awal pagi tadi, hasil daripada maklumat awam bot ronda Maritim Malaysia telah mengesan sebuah lagi bot nelayan tempatan disyaki melakukan kesalahan yang sama di posisi sekitar 2.4 batu nautika barat laut, Pulau Rebak Besar, Langkawi sekitar jam 1.00 pagi.

Pemeriksaan mendapati bot Kelas C bernombor pendaftaran KHF 2020 sedang menjalankan aktiviti menangkap ikan menggunakan pukat tunda. Bot tersebut dikendalikan enam kru termasuk tekong warga tempatan berumur antara 18 hingga 40 tahun.

Kedua-dua bot Kelas C, kru serta dua tekong bersama hasil tangkapan beranggaran setengah tan ditahan dan dibawa ke Jeti Maritim Bukit Malut, Langkawi untuk tindakan lanjut.

Hasil tangkapan bot KHF 2020

Kedua-dua kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melakukan kesalahan menangkap ikan di luar kawasan yang dibenarkan.

Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dalam menguatkuasakan undang-undang dan akan mengambil tindakan sewajarnya. Pengusaha atau pemilik bot hendaklah mematuhi undang-undang demi memastikan kesejahteraan perairan negara.
Justeru, orang ramai dan komuniti maritim khususnya dimohon agar dapat berkerjasama dalam menyalurkan laporan berkenaan aktiviti jenayah di laut menerusi panggilan terus ke Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis yang beroperasi 24 jam sehari di nombor talian 04-9662750 atau MERS 999.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com