Kenyataan media
Pergerakan Pemuda UMNO Kedah
26 Julai 2021
MASA UNTUK KERAJAAN NEGERI LIHAT SEMULA STRATEGI PENGURUSAN COVID
Kita semua kebimbangan apabila kes covid 19 di Kedah melepasi paras empat angka semalam. Dengan kes semalam 1,216 dan angka kumulatif di negeri ini mencapai 38,477, tiada siapa gembira dengan angka itu kerana ia mengambarkan suasana yang buruk, suasana semakin lama untuk kedah beralih ke fasa dua dan lagi lama orang ramai perlu berkorban.
Jadi dimana salah, dimana puncanya sehingga kita merekod kes yang begitu tinggi sedangkan Kedah sejak PKP yang pertama lagi adalah negeri yang mempunyai bilangan kes yang terendah. Kita boleh bangga jika pelaburan masuk ke negeri ini hampir setanding Selangor, tetapi kita patut merasa susah hati apabila covid 19 kita juga hampir sejuara Selangor dan Kuala Lumpur.
Adakah rakyat tidak patuh SOP atau kerajaan negeri lalai dalam mengambil tindakan preemptive. Apakah kita tidak pelajari dari negeri lain seperti Selangor yang sudah mencatatkan kes yang tinggi supaya kita dapat jadikan panduan untuk elak kes juga meningkat di negeri ini.
Dalam menyambut baik tindakan mengadakan PKP di Kuala Muda dan mewujudkan PPV mega di daerah itu, persoalannya tidakkah tindakan itu dilihat sudah terlambat. Apabila kanser sudah mencapai tahap empat baru kita mula mencari ubat. Mengapakah tidak mengambil tindakan PKP seawal lagi sejak kes mula menaik.
Sekarang adalah masa terbaik bagi kerajaan negeri melihat semula strategi pengurusan covid 19. Kerajaan negeri perlu lebih aktif membendung penyebaran, mengambil langkah tindakan dan memfoku gerak kerja yang efisien. Jangan hanya mengambil sikap tunggu dan menyalahkan orang ramai yang tidak mematuhi SOP.
Kita akui ada sebilangan orang yang enteng sahaja bab SOP, tetapi majoriti yang lain adalah pematuh tegar SOP. Maka tidak adil menunding jari secara umum kepada khayalak ramai sedangkan majoriti sedang berjuang dengan cara mereka menghindarkan jangkitan.
Pihak kami juga maklum bahawa keputusan penuh tentang sesuatu tindakan, polisi berkaitan covid 19 adalah bukan di bawah MKN tetapi kerajaan negeri, yang MB juga bermesyuarat bersama MKN, harus tampil dengan solusi sendiri bagaimana mengendalikan situasi Kedah mengikut acuan dan kepentingan negeri.
Tidak guna jika berbangga umumkan pelaburan berbilion ringgit tetapi sepi dalam usaha membeli vaksin demi kesejahteraan rakyat. Proaktif lah dalam usaha vaksinasi rakyat yang mana memperlihatkan Kedah masih corot.
Pasti ada tindakan yang kerajaan negeri boleh lakukan bagi mengawal perluasan sebaran covid 19, contohnya kuasa tindakan di bawah PBT. Kawalan Sempadan daerah juga perlu diketatkan semula apabila ada daerah zon hijau sudah kembali merah. Yang penting kerajaan negeri harus aktif, berfikir solusi diluar kebiasaan dan memahami keperluan orang ramai di bawah.
Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Kedah