Thursday, 2, May, 2024
Utama Negeri PKPD UUM : pelajar diberi makan percuma tiga kali sehari

PKPD UUM : pelajar diberi makan percuma tiga kali sehari

oleh Ammar Haziq

KEBAJIKAN PELAJAR DIBERI KEUTAMAAN SEPANJANG PKPD UUM

SINTOK, 16 Jun – Memasuki hari keempat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Universiti Utara Malaysia (UUM), fokus kepada pelajar terus diberikan keutamaan agar keselamatan dan kebajikan mereka terjamin.

Sepanjang pelaksanaan PKPD UUM bermula 13 Jun lalu, UUM telah menyediakan makanan percuma sebanyak 3 kali sehari (pagi, tengah hari dan malam), selain bantuan makanan kering.

Bagi pelajar yang memerlukan perkhidmatan pembelian barang keperluan harian atau bahan mentah akan dibantu pihak pengurusan Inapan Siswa (INASIS) dan Pusat Penginapan Pelajar (SAC).

Warga kampus yang berada dalam kawasan PKPD UUM juga sentiasa diingatkan untuk mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi memastikan tiada penularan Covid-19 di dalam kampus.

Seramai 2,322 warga UUM berada dalam kawasan PKPD yang bermula 13 Jun sehingga 26 Jun 2021 ini sepertimana arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang diumumkan pada 11 Jun lalu.

Jumlah tersebut melibatkan 2,067 pelajar terdiri 1,823 pelajar tempatan dan 244 pelajar antarabangsa bersama 55 ahli keluarga, manakala 200 lagi adalah staf UUM berserta keluarga yang berada dalam kawasan PKPD UUM.

Bilik Gerakan Bencana UUM juga telah diselaraskan dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kubang Pasu bagi menyelaras pengurusan PKPD dalam kawasan ini.

Sepanjang pelaksanaan PKPD UUM, staf dikehendaki Bekerja Dari Rumah (BDR) kecuali staf ‘essential’ dan pelajar tidak dibenarkan keluar dari Inapan Siswa (INASIS).

Selain itu, kawalan keluar masuk kampus dikuat kuasa oleh Polis DiRaja Malaysia dengan dibantu Jabatan Keselamatan UUM, ATM dan RELA. Sebarang bantuan atau edaran makanan akan dilakukan dengan pematuhan SOP yang ditetapkan MKN dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pihak UUM meminta ibu bapa atau penjaga pelajar supaya tidak bimbang terhadap keadaan anak mereka yang terbabit dengan penguatkuasaan perintah berkenaan kerana UUM akan sentiasa memantau dan menjaga kebajikan pelajar sepanjang berada di kampus ini.

Sebarang pertanyaan atau berkaitan sumbangan / bantuan boleh hubungi Bilik Gerakan Bencana UUM di talian 04-928 4177.

UUM Corporate Communication

16 Jun 2021

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com