SUNGAI PETANI, 7 Nov. – Kementerian Pembangunan Luar Bandar, KPLB, menerusi agensinya Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah, KEDA, mendepani pembangunan modal insan dan kerohanian dengan pembinaan Kompleks Pendidikan Al-Hidayah di Desa KEDA Che Bema di sini.
Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, kompleks yang ditubuhkan pada 2016 itu, bertujuan mengimbangi pembangunan fizikal dan modal insan kerohanian di desa-desa KEDA dan kawasan sekitarnya.
“Hasrat KEDA adalah untuk mewujudkan sebuah hub pembangunan modal insan dan kerohanian di kawasan luar bandar di Kedah”
“Pembangunan modal insan dan kerohanian ini penting dalam mendepani cabaran pada masa akan datang bagi melahirkan masyarakat berkeperibadian yang berkualiti.”
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan dan taklimat projek di Desa KEDA Che Bema, di sini hari ini.
KEDA menurut Mahdzir, akan meneruskan pembangunan fasa dua Kompleks Pendidikan Al-Hidayah dengan tambahan pembinaan dewan serbaguna, bilik kuliah dan 30 unit penginapan berteres kepada para pelajar.
Pada masa kini, KEDA sedang menjalinkan kerjasama dengan Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah bagi memperkemaskan pengurusan pusat pengajian kerohanian itu.
Ketika ini, pusat tersebut menempatkan seramai 80 pelajar perempuan yang sedang mengikuti pengajian tahfiz.
“Saya berharap agar lebih ramai penduduk luar bandar untuk mengikuti pengajian disini tidak kira peringkat umur kerana pembangunan modal insan ini adalah tunjang penting dalam mencapai aspirasi Keluarga Malaysia,” katanya.