Friday, 22, November, 2024
Utama Negeri Harga tiket feri ke Langkawi naik esok

Harga tiket feri ke Langkawi naik esok

oleh Ammar Haziq
FOTO LANGKAWI FERRI LINE

ALOR SETAR – Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd dalam satu kenyataan pada Khamis mengumumkan kadar tiket baharu feri bagi laluan Langkawi ke Kuala Perlis dan Kuala Kedah berkuat kuasa esok.

Pengurus Sumber Manusia dan Operasinya, Kapten Dr Baharin Baharom berkata, kenaikan harga tiket baharu terpaksa dilakukan selepas 15 tahun bagi menampung kos gaji pekerja selain harga minyak diesel yang meningkat.

Menurutnya, walau bagaimanapun penduduk Langkawi, warga emas dan golongan orang kurang upaya (OKU) masih kekal menikmati tambang feri yang sama.

“Bagi laluan Langkawi-Kuala Perlis, harga tiket penumpang tempatan dewasa dan kanak-kanak  naik RM3, menyaksikan kenaikan tambang baharu masing-masing kepada RM21 dan RM16.

“Bagi bukan warganegara pula, tambang penumpang dewasa naik RM9 dan kanak-kanak RM6.50 menjadikan kadar tambang terbaharu masing-masing RM27 dan RM19.50,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, kadar bagi laluan Langkawi-Kuala Kedah pula, harga tiket penumpang tempatan dewasa dan kanak-kanak naik sebanyak RM3.50 dan menjadikan harga baharu RM26.50 dan RM20.50.

Menurutnya,  kadar tambang bagi penumpang bukan warganegara bagi laluan tersebut pula meningkat RM11.50 bagi dewasa dan RM8.50 kanak-kanak.

“Harga terkini tambang bagi warga asing adalah RM34.50 dewasa dan RM25.50 kanak-kanak bagi laluan angkawi-Kuala Kedah, katanya lagi.

Jelasnya, penduduk Langkawi masih lagi menikmati harga tiket kekal dengan penumpang dewasa RM15 dan kanak-kanak RM10 bagi laluan Kuala Perlis, manakala bagi laluan Kuala Kedah dewasa RM20 dan kanak-kanak RM14.

Katanya lagi,  tambang OKU pula bagi laluan Kuala Perlis dan Kuala Kedah masing-masing RM10 dan RM14 sementara warga emas pula RM13 dan RM17.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com