Thursday, 21, November, 2024
Utama Negeri Misteri bau busuk terjawab, lelaki ditemukan tidak bernyawa dalam rumah

Misteri bau busuk terjawab, lelaki ditemukan tidak bernyawa dalam rumah

oleh Ammar Haziq
Seorang lelaki ditemukan dalam keadaan tidak bernyawa di sebuah rumah di Alor Setar.

ALOR SETAR, 4 Ogos – Mayat seorang lelaki ditemukan dalam keadaan cukup memilukan dengan tubuh badannya sudah pun mereput dan mengeluarkan bau busuk di sebuah rumah di Jalan Meranti, Tambang Badak dekat sini, pagi tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir, mayat lelaki itu ditemukan oleh jirannya setelah dia terhidu bau busuk sewaktu pulang dari kerja kira-kira pukul 7 pagi.

“Disebabkan terhidu bau busuk, jiran tersebut cuba menghubungi mangsa selain memanggilnya berkali-kali namun tidak bersahut.

“Jiran itu kemudiannya meminta bantuan seorang individu lain bagi menelefon talian kecemasan 999 kerana pintu rumah itu berkunci. Apabila pintu dibuka, mayat mangsa didapati sudah tidak bernyawa di ruang tamu,” katanya.

Tambahnya, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati mayat mangsa sudah mula mereput dan berada dalam keadaan terlentang.

“Pemeriksaan teliti dibuat mendapati tiada kesan pecah rumah atau unsur jenayah lain. Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Dalam pada itu Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I, Mohamadul Ehsan Mohd. Zain memaklumkan, pihaknya menggunakan peralatan tertentu bagi membuka pintu rumah tersebut.

“Sebaik pintu dibuka, didapati mayat tersebut berada di ruang tamu,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com