Monday, 29, April, 2024
Utama Negeri UUM Johan debat koperasi, bawa pulang RM8,000

UUM Johan debat koperasi, bawa pulang RM8,000

oleh Ammar Haziq

SINTOK – Universiti Utara Malaysia (UUM) telah dinobatkan sebagai Johan dalam Pertandingan Akhir Debat Koperasi peringkat IPT 2023 Piala Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang julung kali diadakan, sekali gus membawa pulang RM8,000, piala pusingan dan sijil.

Pertandingan debat anjuran Institut Koperasi Malaysia (IKMA) dengan kerjasama Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM) telah berlangsung di IKMA bermula 27 Oktober 2023 dan berkahir hari ini.

Pasukan debat universiti terdiri daripada saudara Abdul Hakim bin Abd. Hamid (Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pembangunan), saudara Faris Daniel bin Zainorizal (Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang), saudara Muhammad Tirmizi bin Rabidin (Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang) dan saudara Mohammad Noor Aiman bin Hassan Nudin (Ijazah Sarjana Muda Falsafah, Undang-Undang dan Perniagaan).

Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Foad Sakdan, berkata kemenangan sebagai johan menunjukkan kebolehan pelajar UUM yang cekap dalam bidang pengurusan dan koperasi, selaras dengan universiti ini yang berfokuskan pengurusan.

“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi syabas dan tahniah kepada empat pelajar UUM yang telah menunjukkan kebolehan luar biasa di peringkat nasional,” katanya.

Kemenangan UUM sekali gus menobatkan UUM sebagai institusi pendidikan tinggi pertama yang memenangi pertandingan yang julung kalinya diadakan.

Universiti Sains Malaysia (USM) pula menjadi Naib Johan manakala Universiti Multimedia (MMU) dan Universiti Poly-Tech Mara (UPTM) memenangi tempat ketiga dengan membawa pulang hadiah tunai RM 5,000.00 dan RM 2000.00 masing-masing selain trofi dan sijil.

Penyampaian hadiah tersebut telah disempurnakan oleh Datuk Hj. Zamri Hj Salleh, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Usahawan) Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) pada Majlis Perasmian Penutup Pertandingan Debat Koperasi peringkat IPT 2023. – UUM

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com