LANGKAWI, 22 Ogos – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis menahan sebuah kapal layar tanpa dokumen di sekitar perairan Langkawi, pada lewat petang kelmarin.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli bin Mustafa berkata, kapal layar itu ditahan kira-kira jam 6.55 petang semasa bersauh di 0.2 batu nautika timur laut Pulau Tuba.
Hasil pemeriksaan mendapati kapal layar yang membawa dua pemilik kapal layar serta dua kru masing-masing berumur 46 tahun hingga 56 tahun beserta lapan penumpang itu, gagal mengemukakan sebarang dokumen untuk menjalankan aktiviti rekreasi di laut.
Kapal layar tersebut dipercayai membawa pelancong melihat pemandangan matahari terbenam atau ‘Sunset Cruise’.
Kapal layar bersama kru dan pemilik bot tersebut kemudian ditahan dan dibawa masuk ke jeti Maritim Bukit Malut untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat dibawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana gagal mengemukakan dokumen yang sah.
Maritim Malaysia turut menegaskan supaya semua pengusaha kapal layar yang menjalankan aktiviti ‘Sunset Cruise’ untuk mematuhi segala keperluan perlesenan, insuran dan keselamatan bagi menjaga keselamatan pelancong dan penumpang kapal layar.
Maritim Malaysia juga mengingatkan supaya pelancong lebih peka untuk memilih pengusaha kapal layar yang berdaftar dengan Jabatan Laut Malaysia untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.
Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis meminta orang awam untuk melaporkan sebarang kesalahan undang-undang di laut melalui talian 04-9662750.