ALOR SETAR, 12 Sept – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis berjaya menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C pada kedudukan kira-kira 1.35 batu nautika dari Barat Pulau Intan Kecil, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, bot nelayan yang dikesan sedang melakukan aktiviti menangkap ikan dalam keadaan bergelap melalui rondaan rutin Op Aman itu ditahan pada pukul 6 pagi.
“Hasil pemeriksaan mendapati bot nelayan berkenaan dikendalikan seorang tekong bersama tiga kru yang mana dua daripadanya adalah warganegara Thailand yang berumur antara 40 hingga 47 tahun.
“Hasil tangkapan ikan dianggarkan 80 kilogram dan bot bersama kesemua kru yang ditahan telah dibawa ke Jeti APMM Bukit Malut untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata kes disiasat dibawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen menunda ikan di bawah 15 batu nautika dari pesisir pantai.
“Komuniti maritim setempat juga perlu bekerjasama memantau perkara itu dan melaporkan kepada Maritim Negeri Kedah dan Perlis di talian 04-9662750 atau MERS 999.
“Kerjasama antara Maritim Malaysia dan komuniti perlu dieratkan demi memastikan perairan Negeri Kedah dan Perlis sentiasa aman dan selamat,” katanya. -Kedah Gazette