GURUN, 13 Sept – Hampir lima bulan sudah berlalu namun kehilangan Mohd Azhar Che Mansor, 36, masih menjadi tanda tanya terutama buat isteri serta anak-anak yang tetap setia menanti kepulangan lelaki itu ke pangkuan mereka.
Tanpa meninggalkan sebarang petunjuk atau jejak, bapa kepada empat anak berusia enam hingga 15 tahun itu pada mulanya disangkakan mengikut adik lelaki pergi mencari kerja di Johor selepas Aidilfitri lalu.
Namun, dia yang dilihat kali terakhir keluar daripada rumah keluarganya di Kampung Jalan Baru, Kilang Bata dekat sini 16 Mei lalu dengan menunggang motosikal SYM merah serta hitam milik bapanya langsung tidak pulang sejak itu dan masih gagal dikesan hingga hari ini.
Mohd Azhar ketika itu juga tidak membawa sebarang dokumen dan kehilangannya menjadi lebih sukar untuk dikesan kerana dia meninggalkan telefon bimbitnya di rumah.
Tiada siapa menyedari yang itu adalah kali terakhir kelibat lelaki terbabit dilihat kerana isteri, Nurul Hidayah Saad, 36, menyangka suaminya sudah berada di Johor selepas keluar dari rumah bapa mentua untuk mengikut adik lelaki mencari kerja.
Namun, adik Mohd Azhar ketika itu menangguh hasrat ke Johor dan dia tersalah sangka serta beranggapan abangnya pulang ke pangkuan isteri dan anak-anak di rumah mereka di Pokok Sena.
Beberapa minggu selepas itu, barulah adiknya bersedia untuk meneruskan rancangan yang tertangguh dan cuba menghubungi kakak ipar meminta bertanya kepada abangnya sama ada mahu mengikut ke Johor atau tidak.
Ketika itu, baru mereka menyedari kehilangan Mohd Azhar yang sebenarnya langsung tidak pulang sama ada rumah di Gurun atau Pokok Sena seperti yang dijangka masing-masing akibat salah faham.
Nurul Hidayah berkata, menyedari kehilangan suami, bapa mentuanya yang juga orang terakhir melihat Mohd Azhar kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian terbabit pada 7 Jun lalu.
“Bagaimanapun, selepas hampir lima bulan berlalu, saya langsung tidak dimaklumkan atau mendapat sebarang khabar berita mengenai suami.
“Saya sudah bersedia dari segi mental dan fizikal sekiranya selepas ini menerima khabar mengenai suami sama ada dia ditemui masih hidup atau sebaliknya.
“Sekiranya masih hidup saya mohon Tuhan zahirkan perasaan rindu dalam hati suami kepada anak-anak namun jika sebaliknya saya harap diberikan petunjuk oleh Allah SWT,” katanya.
Menurutnya, sebagai ibu dia tidak sanggup melihat satu-satunya anak lelaki tunggal yang juga anak bongsu dalam keluarga Ahmad Adryan Suffyan berusia enam tahun bertanyakan mengenai bapanya hampir setiap hari.
“Hati ibu mana yang tidak sedih apabila terpaksa melihat kerinduan ditanggung anak-anak terhadap bapa mereka lebih-lebih lagi anak bongsu yang masih belum mengerti apa-apa,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat, mengenali atau melihat Mohd Azhar boleh menghubungi isterinya Nurul Hidayah di talian 01110728937.