Friday, 26, April, 2024
Utama Negeri KPDNHEP Kedah Tumpaskan Sindiket Penyelewengan Diesel Di Sungai Petani

KPDNHEP Kedah Tumpaskan Sindiket Penyelewengan Diesel Di Sungai Petani

oleh admin

ALOR SETAR, 13 Sept – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah berjaya menumpaskan satu sindiket penyelewengan bahan api bersubsidi diesel dalam satu serbuan di sebuah gudang di Sungai Petani, semalam.

Anggota KPDNHEP Kedah merampas 6,038 liter minyak diesel di sebuah gudang tidak bernombor di Sungai Petani.

Pengarahnya Affendi Rajini Kanth berkata serbuan pada pukul 1 tengah hari yang dilakukan di gudang tanpa nombor itu adalah hasil aduan orang awam dan risikan yang telah dilakukan sejak dua minggu lalu.

“Serbuan oleh lima anggota penguat kuasa KPDNHEP Alor Setar itu mendapati gudang tersebut dijadikan sebagai tempat pengumpulan diesel yang dibeli dari beberapa stesen minyak di sekitar Sungai Petani dan Gurun sebelum ia dijual semula kepada pihak industri.

“Semasa serbuan dilakukan, gudang tersebut tidak beroperasi dan pemeriksaan lanjut telah menjumpai 6,038 liter minyak diesel yang berada di dalam tong fiber. Turut ditemui 30 unit tong fiber yang mana enam daripadanya berisi minyak diesel,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sebahagian tong fiber yang digunakan untuk menyimpan minyak diesel yang dibeli daripada beberapa stesen minyak di sekitar Sungai Petani dan Gurun.

Beliau berkata siasatan awal mendapati gudang itu tidak mempunyai sebarang lesen atau premit yang sah untuk menyimpan barang kawalan di lokasi berkenaan.

“Kita telah menyita minyak diesel berjumlah 6,038 liter, hos paip dan pam elektrik yang jumlah keseluruhannya dianggarkan bernilai RM21,470 dan kes disiasat dibawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com