Sunday, 24, November, 2024
Utama Nasional Kerajaan digesa naikkan harga lantai getah ke RM3.50 sekilogram

Kerajaan digesa naikkan harga lantai getah ke RM3.50 sekilogram

oleh Ammar Haziq
Ahmad Tarmizi Sulaiman

ALOR SETAR, 14 Sept. – Kerajaan digesa supaya mengaktifkan insentif pengeluaran getah (IPG) dan menaikkan harga lantai getah ke RM3.50 sekilogram, berikutan harga semasa getah yang berada pada paras cukup rendah ketika ini.

Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, ketika ini harga getah menurun ke paras RM2.30 sekilogram, sekali gus ‘menekan’ kehidupan masyarakat kampung ketika harga barang kian meningkat.

Malah katanya, pendapatan penoreh getah yang terjejas itu diburukkan lagi dengan musim hujan berpanjangan mengakibatkan aktiviti harian untuk mencari nafkah, tidak dapat diteruskan.

“Justeru, saya menggesa agar kerajaan menaikkan harga lantai IPG ke RM3.50 dengan kadar segera. Kawalan getah sintetik yang dihasilkan secara besar-besaran turut perlu dilaksanakan oleh agensi-agensi kerajaan yang terlibat dalam industri getah ini.

“Ada segelintir penoreh yang mengambil upah menoreh di kebun getah milik orang lain dan hasilnya perlu dikongsi menyebabkan pendapatan bulanan terlalu sedikit. Dengan harga barang semasa, sebahagian mereka yang terhimpit terpaksa berjimat-cermat membeli keperluan harian bagi meringankan perbelanjaan membeli barangan dapur,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Ahmad Tarmizi yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) berkata, keadaan mungkin boleh menjadi lebih genting sekiranya kalangan pemilik kebun dan penoreh getah berhijrah ke tanaman komoditi lain.

“Tindakan itu akan memberi impak buruk terhadap bekalan getah asli di Malaysia. Maka bantuan kerajaan melalui pengaktifan IPG dan kenaikan harga lantai getah merupakan langkah amat penting bagi membantu penoreh meneruskan kelangsungan hidup.

“Langkah itu juga seterusnya dapat merealisasikan pembangunan ekonomi getah sebagai salah satu kepentingan kepada ‘Keluarga Malaysia’,” katanya. – Kedah Gazette

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com