SUNGAI PETANI 12 Sept, – Biarpun sudah 38 tahun berlalu namun kejadian dihujani 25 butir peluru dilepaskan anggota komunis terhadapnya tidak mudah untuk dilupakan buat seorang bekas komando Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Staf Sarjan Ahmad Isa Mahmud, 66 atau lebih dikenali sebagi ‘Tok Wan’.
Apakan tidak, jika diikutkan logik akal tembakan bertalu-talu itu sudah pasti akan meragut nyawanya namun dia bersyukur kerana dengan kehendak tuhan, peluru dilepaskan anggota komunis itu hanya terkena akar pokok.
Menurutnya, tidak mudah untuk dia melupakan kejadian bekenaan yang berlaku ketika dia bersama empat rakan komando sedang menjalankan operasi dalam hutan di Bentong, Pahang kerana jika tersalah langkah walau sedikit pun ketika itu nyawanya pasti akan melayang.
“Saya sebenarnya bertembung secara tidak sengaja dengan anggota komunis terbabit dan dia yang terkejut serta panik terus melepaskan tembakan secara melulu.
“Dalam keadaan kelam kabut itu, mujur saya sempat berselindung sebalik pokok malah sempat melihat peluru melintas di hadapan muka sehingga serpihannya terkena di dahi yang hingga kini meninggalkan kesan parut,” katanya.
Beliau yang menjalani latihan rekrut sebagai prebet di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada), Ulu Tiram Johor pada 1976 itu berkata, selain berdoa dia sesekali turut membalas tembakan sebelum empat rakan sepasukan datang memberi bantuan.
“Empat rakan saya ketika itu berada agak jauh di belakang namun mereka yang mendengar bunyi tembakan segera menghampiri untuk memberi bantuan.
“Anggota komunis yang mengetahui rakan lain cuba membantu mula kelam kabut serta panik dan saya mengambil kesempatan itu untuk melepaskan tembakan yang terkena di tubuhnya sebelum dia rebah,” katanya.
Tok Wan berkata, bagaimanapun ketika dia bersama rakan yang pergi ke tempat anggota komunis dilihat rebah sebelum itu, mendapati musuh yang bergerak seorang diri berkenaan sudah tiada dan sempat melarikan diri dalam keadaan cedera.
“Kami hanya menemui kesan darah serta beg mengandungi pakaian seragam komunis dan dia dipercayai dalam perjalanan mengambil bekalan makanan untuk anggota lain sebelum terserempak pasukan kami.
“Bagaimanapun, saya sesekali tidak akan melupakan kejadian itu kerana nyawa boleh diibarat umpama berada di hujung tanduk,” katanya yang memberitahu persitiwa hitam berkenaan tercetus pada jam 1 tengah hari 22 November 1984 yang juga hari Khamis.
Dalam usianya yang makin meningkat dan berstatus warga emas, bekas komando yang dilihat masih gagah itu ketika berkhidmat adalah seorang anggota yang mempunyai kepakaran dalam mengesan dan memusnahkan jerangkap samar atau periuk api yang dipasang komunis dalam hutan.
Bapa kepada tiga anak masing-masing dua perempuan dan seorang lelaki berusia 32 hingga 37 tahun itu berkata, sepanjang 21 tahun berkhidmat bersama ATM, dia tidak pernah sekalipun mengambil cuti ketika Aidilfitri kerana sudah biasa menjalankan tugas dalam hutan semata-mata demi memastikan negara dicintai dalam keadaan aman.
“Saya bersyukur kerana arwah isteri tidak pernah merungut atau mengeluh ketika hari raya menjelang dan dia memang seorang insan yang sangat memahami tugas saya,” katanya yang kehilangan isteri tercinta tahun lalu.
Kehilangan isteri membuatkan Tok Wan juga terpaksa berkorban dengan menggalas tanggungjawab sebagai ibu untuk menjaga anak perempuan keduanya yang juga Orang Kurang Upaya (OKU).