ALOR SETAR, 19 Sept – Suatu ketika dahulu, mereka adalah insan yang berjuang demi memastikan kedaulatan serta keamananm negara tercinta terpelihara dan bebas daripada ancaman musuh.
Jika tidak kerana perwira-perwira negara ini, generasi sekarang mungkin tidak akan merasa untuk hidup dalam sebuah negara yang bukan saja aman harmoni malah penduduknya berbilang kaum dan agama.
Itu antara pengorbanan dilakukan bekas komando yang bermati-matian mempertahankan tanah air daripada dijajah atau ditawan musuh ketika beberapa peristiwa besar melanda negara antaranya Konfrontasi Indonesia-Malaysia, rusuhan kaum 13 Mei 1969 serta penentangan Parti Komunis Malaysia (PKM).
Namun, semua itu hanya tinggal kenangan buat mereka yang kini dilihat sudah dimamah usia ketika ditemui pada Majlis Reunion Zulu Skuadron Rejimen 21 Komando yang diadakan di Restoran Anjung Kuala, Kuala Kedah Sabtu lalu.
Biarpun ada yang terpaksa bergerak menggunakan kerusi roda serta tongkat namun semangat dan darah komando yang mengalir dalam tubuh tidak sesekali akan lenyap atau melemahkan mereka untuk sama-sama hadir ke majlis reunion yang julung kali dianjurkan itu.
Berpuluh tahun berlalu, namun kenangan ketika menentang musuh tidak akan lenyap dalam memori mereka dan ia sentiasa melekat di ingatan masing-masing.
Selain menjadi medan pertemuan semula selepas sekian lama terpisah, majlis reunion itu turut meninggalkan kenangan manis apabila dihadiri salah seorang daripada 13 anggota perintis Malaysian Special Service Unit (MSSU) atau Pasukan Gerak Khas Malaysia yang kini dikenali Grup Gerak Khas (GGK) iaitu Kolonel (B) Hussin Awang Senik, 78.
Daripada 13 individu yang berjaya menamatkan latihan komando itu, kini hanya tinggal empat perintis MSSU yang masih hidup di negara kita termasuk Hussin dan mereka adalah orang pertama terpilih menjalani latihan asas komando yang ketika itu dikendalikan Regimen ke-40 Komando Marin Diraja British (40th British Royal Marines Commando).
Difahamkan, Hussin juga ketika itu dilantik sebagai Ketua Skuadron pertama sekaligus menjadi pengasas ketika Zulu Skuadron Rejimen 21 Komando selepas beliau menamatkan latihan.
Bayangkan, betapa lasak serta ‘berhati kering’ 13 individu yang terpilih itu kerana pada akhir latihan asas komando yang disertai 300 orang, hanya mereka sahaja yang berjaya mengatasi segala cabaran dan dugaan.
Sementara itu, Setiausaha Ahli Jawatan Kuasa (AJK) Majlis Reunion Zulu Skuadron Rejimen 21 Komando, Zailani Aziz berkata program berkenaan dianjurkan bagi menemukan kembali veteran perang komando zaman era komunis yang terpisah selepas sekian lama sejak menamatkan perkhidmatan.
“Bagi mengimbau memori zaman bertempur dengan pengganas komunis di mana ramai rakan seangkatan terkorban dan cedera demi mempertahakan tanah air, mereka dipertemukan semula.
“Majlis ini sekurang-kurangnya dapat mengingatkan kembali jasa mereka hingga membolehkan semua rakyat Malaysia hidup dalam aman damai kini,” katanya.
Zailani berkata, majlis yang dianjurkan itu sudah dirancang sejak tiga bulan lalu dan bersyukur kerana ia mendapat sambutan baik walaupun pertama kali dilangsungkan.
“Majlis berlangsung meriah dan kita mengatur penginapan serta kenderaan untuk menjemput serta menghantar peserta dengan mengambil kira faktor kesihatan dan keadaan mereka.
“Ada antara peserta yang terpisah hampir 40 tahun lalu sanggup hadir kerana mendakwa mereka diberi nafas dan peluang oleh Allah S.W.T untuk meneruskan hidup dan mengambil kesempatan itu untuk bertemu rakan seperjuangan,” katanya.
Majlis berkenaan berjaya mengumpul seramai 250 bekas komando termasuk ahli keluarga masing-masing yang datang dari seluruh negeri kecuali Sabah dan Sarawak kerana faktor usia dan kesihatan.