Friday, 22, November, 2024
Utama Negeri MB Kedah temani anak yatim piatu ke USM

MB Kedah temani anak yatim piatu ke USM

oleh Ammar Haziq
Muhammad Sanusi dan isterinya menemani Salmah (kanan) semasa mendaftar di USM pada Ahad.

ALOR SETAR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkesempatan menghantar seorang anak yatim piatu, Salmah Aminuddin,20 mendaftar pengajian di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang pada Ahad.

Berkongsi di Facebooknya, isteri beliau turut bersama menemani pelajar tersebut yang ditawarkan melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana Muda dengan kepujian (Pengajian BM,BI, Geografi, Sejarah/kesusasteraan) di universiti tersebut.

“Alhamdulillah…. Semoga anakanda Salmah dapat merasai kehadiran ibu dan ayah serta ahli keluarga di permulaan fasa perjuangan yang mencabar ini, walaupun hanya sebagai ganti.

Jutaan Terima kasih kepada Prof. Dr Azlinda Azman dan seluruh pegawai dan kakitangan Universiti Sains Malaysia (USM) yang mempermudahkan proses pendaftaran anakanda Salmah Aminuddin yang menjejakkan kaki ke menara gading berprestij itu hari ini,” tulisnya.

Muhammad Sanusi (lima kiri) menghantar Salmah (empat kiri) ke USM, Pulau Pinang hari ini.

Muhammad Sanusi yang juga Alumni USM berkata, beliau mengharapkan Salmah dapat belajar dengan bersungguh-sungguh agar dapat membantu mengubah nasib keluarganya pada masa hadapan.

“Selamat berjuang anakanda, merintis jalan, menyemai benih kejayaan, melakar masa depan yang cemerlang. Setiap langkah ke hadapan itu kami semua iringi doa berpanjangan. Nenek dan sepupu di rumah tentu ada saudara-mara yang menjaganya. 

“Penghantaran Salmah ke Penang hari ini turut di sertai Tok Lang dan adik-adik sepupu dari Kg Budi, Pokok Sena serta Pak Su, Mak Su dan kakak sepupu yang pulang dari lembah Kelang. Mereka semua tentunya turut berbangga dengan pencapaian setakat ini,” ujar beliau lagi

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com