Monday, 29, April, 2024
Utama Negeri Hayati sirah kelahiran Rasulullah, budayakan Sunnah – Sultan Kedah

Hayati sirah kelahiran Rasulullah, budayakan Sunnah – Sultan Kedah

oleh Ammar Haziq
Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

ALOR SETAR, 10 Okt. – Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menyeru semua lapisan masyarakat agar menghayati sirah kelahiran Rasulullah dengan membudayakan sunnah-sunnah baginda dalam kehidupan.

Baginda bertitah, langkah mengamalkan sunnah akan mendatangkan kelapangan dalam hidup kerana sunnah sentiasa bersifat komprehensif, memiliki keseimbangan dan bersifat realiti termasuk dalam perkara melibatkan keperluan serta keinginan manusia.

“Sesungguhnya setiap amalan dibawa Nabi Muhammad SAW adalah relevan pada setiap zaman dan keadaan.

“Demi memastikan keharmonian dan kesejahteraan negeri Kedah berterusan sepanjang masa, beta berhasrat agar kita semua menghayati setiap pengajaran dan iktibar dari kehidupan Rasulullah, serta berusaha sedaya upaya mengamalkan tingkah laku serta akhlak baginda agar uswah dan qudwah baginda yang sangat mulia itu, menjadi amalan dalam hidup kita.

“Semoga Allah Swt. sentiasa merahmati kehdiupan kita, dengan penuh keberkatan dan mendapat inayah darinya jua,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Kedah di Hotel Raia dekat sini, hari ini.

Raja Muda Kedah, Tengku Sarafuddin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin turut berkenan berangkat ke majlis tersebut.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Norizan Khazali serta Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang.

Baginda bertitah, Rasulullah SAW adalah Qudwah Hasanah yang perlu dijadikan ‘role model’ dalam kehidupan seharian.

“Berpaksikan dengan sifat-sifat terpuji baginda iaitu benar, amanah, fatanah dan tabligh, setiap individu haruslah mencontohi dan menghayati sifat-sifat tersebut untuk dilaksanakan dalam menguruskan kehidupan seharian.

“Dengan amalan sifat-sifat mahmudah ini, ia akan menjadi teras dan nilai utama kepada pembetukan ummah Rabbani yang merupakan tonggak kepada kesejahteraan sesebuah negara,” titah baginda.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com