Friday, 22, November, 2024
Utama Negeri 19 PATI warga Myanmar, Bangladesh ditahan guna dokumen meragukan

19 PATI warga Myanmar, Bangladesh ditahan guna dokumen meragukan

oleh Ammar Haziq
PATI yang ditahan dibawa ke Pejabat Zon Maritim Kuala Kedah untuk siasatan lanjut. FOTO MARITIM

ALOR SETAR – 13 lelaki dan enam wanita disyaki Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Myanmar dan Bangladesh telah ditahan dalam satu pemeriksaan yang dilakukan ke atas sebuah feri penumpang di kedudukan 3.1 batu nautika barat daya muara Kuala Kedah pada pukul 10.16 pagi semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti binti Ishak berkata, bot ronda milik Maritim Malaysia sedang melaksanakan rondaan rutin Op Aman di sekitar perairan Kuala Kedah sebelum menerima maklumat risikan dan menahan feri berkenaan yang dalam perjalanan dari Pulau Langkawi ke Kuala Kedah.

Ketika pemeriksaan dilakukan ke atas feri berkenaan, anggota penguat kuasa mendapati 16 warga Myanmar hanya memiliki salinan surat permohonan United Nations High Commission for Refugees (UNHCR) yang meragukan memandangkan permohonan pemilikan kad terbabit telah dihentikan dan tiga lagi warga Bangladesh tidak memilki dokumen pengenalan diri yang sah.

Berikutan itu, kesemua PATI terbabit disyaki telah melakukan kesalahan di bawah seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002) yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih dari RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-dua sekali dan sebat tidak lebih dari enam kali sebatan, jika disabit kesalahan.

Kesemua mereka ditahan dan dibawa ke Pejabat Zon Maritim Kuala Kedah untuk siasatan lanjut.

Pihak Zon Maritim Kuala Kedah mengalu-alukan orang ramai untuk melaporkan sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut melalui saluran talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com