Saturday, 4, May, 2024
Utama Nasional Kajian Menyeluruh Pemberian Insentif Peniaga Yang Terlibat Dalam Menu Rahmah

Kajian Menyeluruh Pemberian Insentif Peniaga Yang Terlibat Dalam Menu Rahmah

oleh admin

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menjalankan kajian menyeluruh dalam masa terdekat bagi mengkaji insentif kepada peniaga yang terlibat dalam pelaksanaan Menu Rahmah yang diperkenalkan sejak Februari lalu.

Menteri KPDN, Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata, kajian terbabit dicadang untuk dijalankan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti.

Menurut beliau, tempoh empat hingga enam bulan pasca pelaksanaan program terbabit adalah masa yang tepat untuk kerajaan membuat kajian dan penambahbaikan.

Kita akan dapatkan fakta yang meliputi lokasi dan bentuk menu yang ditawarkan peniaga, selain itu ia akan turut melibatkan proses menemuduga peniaga mengenai bentuk bantuan yang mereka perlukan.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Semarak Niaga SSM dan menyampaikan sumbangan Wakalah Zakat Koporat berjumlah RM100,000 kepada 500 penerima asnaf di Alor Setar pada Sabtu.

Turut hadir, Pengarah SSM Kedah Ismanani Khazali.

Salahuddin berkata, sejak pelaksanaan inisiatif terbabit, Menu Rahmah mendapat tarikan pelanggan dan mampu menjana keuntungan untuk peniaga.

Malah jelasnya, hasil temubual seramai 1,148 peniaga bazar Ramadan setakat ini menyifatkan ada peningkatan hasil jualan menerusi pengenalan Menu Rahmah.

Jadi ini antara fakta yang kita sedang teliti dengan penuh bertanggungjawab. Kita faham ini adalah isu melibatkan keperluan peniaga dan rakyat. 70 peratus peniaga memaklumkan mendapat keuntungan manakala selebihnya itu mereka kata ada keuntungan tetapi tidak pada kadar yang mereka jangka.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com