SINTOK – Penguasaan bahasa Inggeris perniagaan yang menjadi bahasa komunikasi antarabangsa dunia korporat amat penting bagi memperoleh akses kepada maklumat dan pengetahuan perniagaan khususnya dalam era globalisasi yang berdaya saing masa kini.
Menyedari hakikat itu Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB) dan Bursa Malaysia menganjurkan program Super Circle English yang dilaksanakan oleh Kursi Bursa Malaysia SEFB di Pusat Konvensyen, Universiti Utara Malaysia (UUM) pagi ini.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dr Russayani Ismail dalam ucapan perasmiannya berkata, penguasaan bahasa inggeris adalah perlu bagi nilai tambah yang lebih tinggi, sekali gus membolehkah negara bergerak pantas ke arah mencapai ekonomi pengetahuan dengan pendapatan yang lebih baik.
“Pembelajaran bahasa Inggeris dilihat sukar tetapi amat perlu khususnya dalam berkomunikasi sama ada bagi perbincangan dan berinteraksi samada dalam pembelajaran ataupun berkomunikasi,” jelasnya lagi.
Dalam konteks penganjuran program ini beliau turut berterima kasih kepada Naib Presiden Kanan (Pendidikan), A. A. Deepa dari Bursa Malaysia kerana meneruskan peranan dalam program yang mengabungkan aktiviti penyelidikan yang berimpak tinggi, inklusif, penerbitan, latihan, seminar dan wacana akademik khususnya dalam bidang kewangan seperti yang dianjurkan sebelum ini.
Sementara itu Dekan SEFB , Prof Madya Dr Bakti Hasan Basri dalam ucapan aluannya berkata, lebih 150 pelajar UUM telah mendaftarkan diri sebagai peserta program dan lebih 30 orang pelajar telah mendaftar sebagai mentor di mana mentor telah menjalani temuduga bersama pensyarah secara dalam talian.
“Seramai 15 orang mentor yang terdiri dari pelajar SEFB, Tunku Puteri Intan Safinaz School of Accountancy (TISSA), School of International Studies (SoIS) dan School Of Business Management ( SBM) yang berkelayakan telah dipilih dan telah menghadiri kursus latihan modul selama dua hari di Hotel EDC pada 12 dan 13 Mei 2023 lalu sebelum kita menjemput mereka untuk menyertainya,”ujarnya lagi.
Program yang dirasmikan ini akan dijalankan secara berterusan dan akan dibahagikan kepada 15 kumpulan masing-masing terdiri dari 10 ahlinya.
Bagi menyelaraskan program ini tiga pensyarah juga telah dilantik iaitu Dr Adilah Azhari, Dr Lu Ming Pey dan Dr Fikriyah Abdullah.
Program yang akan dijalankan selama 10 minggu ini meliputi 10 modul latihan dan setiap kumpulan boleh memilih masa yang sesuai untuk menjalankan aktiviti mereka.
Daripada 10 modul pula terdapat tiga modul yang melibatkan penglibatan staf Bursa Malaysia yang akan berkongsi ilmu pelaburan bersama peserta dan akan dikendalikan di dalam Bahasa Inggeris nanti.
Moga matlamat program ini untuk meningkatkan tahap penguasaan Bahasa Inggeris di samping menambah ilmu pengetahuan di dalam ilmu asas pelaburan dikalangan peserta dapat mencapai objektifnya nanti.