LANGKAWI – Seramai 1,680 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengawal keselamatan sepanjang penganjuran Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA’23).
Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad, berkata semua anggota ditempatkan di enam lokasi yang dikenalpasti menjadi tumpuan orang ramai bermula Selasa hingga Sabtu ini.
Menurutnya, lokasi tersebut adalah dewan pameran Mahsuri International Exhibition Centre (MIEC), Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Terminal Feri di Kuah, Dataran Helang, Pantai Chenang dan Resort World.
“Dengan kekuatan ini kita kenalpasti kawasan kawasan yang kita perlu beri fokus untuk keselamatan iaitu di kawasan Dataran Kuah, Dataran Helang, di kawasan pameran MIEC dan di kawasan Resort World ini juga tempat tumpuan di mana sepanjang program lima ini berlangsung,” kata Wan Hassan.
Jelasnya, anggota trafik juga ditugaskan menjaga keselamatan dan membantu melancarkan aliran trafik sepanjang berlangsungnya pameran berprestij itu.
Beberapa jalan utama menghala ke Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dan Resort World Langkawi akan dijadikan jalan sehala mulai 7 pagi hingga 7 malam dari Selasa hingga Sabtu. – Kedah Gazette