Wednesday, 15, May, 2024
Utama Nasional Jawatan Menteri KPDN akan diisi segera

Jawatan Menteri KPDN akan diisi segera

oleh Ammar Haziq

PUTRAJAYA:Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kekosongan jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup akan diisi secepat mungkin susulan pemergian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Beliau berkata, sebarang cadangan nama bagi menjawat jawatan berkenaan boleh dikemukakan kepada beliau.

“Insya-Allah kita akan atasi isu kekosongan. Kalau ada cadangan, sila isi (hantar) surat kepada saya secepat mungkin,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Perdana Menteri sebelum itu hadir Majlis Penghantaran tiga kontena al-Quran untuk Solidariti Wakaf Sejuta Naskhah al-Quran berlangsung di Kompleks Nasyrul Quran, di sini.

Ditanya adakah kerusi berkenaan akan diisi oleh Suhaizan Kayat yang memenangi kerusi Parlimen Pulai baru-baru ini, Anwar berkata: “Kena tulis surat kepada saya.”

Media sebelum ini melaporkan dua Ahli Parlimen daripada Parti Amanah Negara (Amanah) disebut-sebut sebagai individu yang akan mengisi kekosongan jawatan KPDN.

Mereka ialah Ahli Parlimen Alor Gajah, Adly Zahari yang kini menyandang jawatan Timbalan Menteri Pertahanan dan seorang lagi Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Salahuddin meninggal dunia pada 23 Julai lalu.

Dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, Suhaizan yang juga ‘orang kepercayaan’ Allahyarham Salahuddin berjaya memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti lebih 18,000.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com