Friday, 22, November, 2024
Utama Nasional Kerajaan Perpaduan kekalkan penjawat awam dan kontrak

Kerajaan Perpaduan kekalkan penjawat awam dan kontrak

oleh Ammar Haziq
Datuk Armizan Mohd Ali.

KUALA LUMPUR:Kerajaan Perpaduan mengekalkan penjawat awam dan petugas kontak dalam proses penstrukturan dan pembubaran beberapa agensi ketika pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali, berkata hanya penjajaran semula dilaksanakan kepada penjawat awam di agensi berkaitan.

“Sebagai contoh, pembubaran Kementerian Wilayah Persekutuan, Unit Perumahan Awam serta penggabungan KeTSA (Kementerian Tenaga dan Sumber Asli) dan KASA (Kementerian Alam Sekitar dan Air).

“Ia tidak melibatkan sebarang penamatan penjawat awam termasuk lantikan kontrak,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy (BN-Kalabakan) sama ada pembubaran beberapa kementerian dan agensi di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan membabitkan penamatan perkhidmatan penjawat awam dan petugas kontrak.

Armizan berkata penstrukturan dan penyusunan semula kementerian, jabatan dan agensi dari aspek kewujudan baharu, pembubaran dan penubuhan semula, dilaksanakan secara menyeluruh dengan mengambil kira pelbagai faktor.

Katanya, antara asas pertimbangan diambil kira ialah keperluan skop fungsi, tugas dan peranan setiap agensi, pertindihan fungsi dan keberkesanan sistem penyampaian.

“Sebarang keputusan dan tindakan adalah berpandukan Dasar Pengoptimuman Perkhidmatan Awam (DPPA) bagi memaksimumkan penggunaan sumber manusia perkhidmatan awam.

Ia turut mengambil kira usaha meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan dan mengawal kadar pertambahan implikasi kewangan kerajaan.

“Pada masa sama, agenda menangani isu pengangguran dilaksanakan secara komprehensif dan berfokus melalui pelbagai inisiatif digerakkan merentasi kementerian, termasuk sektor swasta dan pihak berkepentingan lain,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com