KUCHING – Selaraskan penggunaan slogan ‘Segulai Sejalai’ di seluruh negara selari dengan usaha memperkasakan semangat perpaduan antara kaum.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengakui tertarik dengan perkataan dari bahasa Iban itu yang bermaksud ‘berjalan seiringan’.
“Saya tertarik dengan segulai sejalai saya hendak pastikan segulai sejalai ini dijadikan motto di seluruh negara Malaysia di mana mana negeri apabila kita berbicara soal perpaduan dan kerjasama saya akan sebut segulai sejalai,” katanya.
Beliau berkata demikian, ketika menghadiri sambutan Perayaan Gawai Dayak Peringkat Negeri Sarawak 2023 di Kuching, malam tadi.
Pada majlis itu Anwar turut meluluskan peruntukan berjumlah RM10 juta untuk program penyukatan Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di Sarawak.
Beliau turut meminta agar peruntukan untuk rumah-rumah adat bukan Islam di Semenanjung juga diperuntukkan kepada Sarawak melalui Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR).
“Program penyukatan tanah NCR ini adalah satu keputusan yang bijak supaya keluhan masyarakat asal di sini dan isu berkaitan kawasan milik mereka diselesaikan dengan baik, maka kita tambah peruntukan untuk program ini, saya setuju kita tambah RM10 juta lagi.
“Pengurusan rumah-rumah ibadat di Sarawak memang terkehadapan, terutama melibatkan projek -projek tertentu saya akan bincang dengan Premier Sarawak, kita akan pastikan supaya apa sahaja bentuk peruntukan yang ada di Semenanjung untuk gereja, kuil dan sebagainya juga akan disalurkan dengan sarawak,” ujarnya.