Wednesday, 15, May, 2024
Utama Nasional Sudah boleh jalankan aktiviti luar bilik darjah

Sudah boleh jalankan aktiviti luar bilik darjah

oleh Ammar Haziq
Semua institusi pendidikan di bawah KPM yang melaksanakan aktiviti luar bilik darjah perlu memastikan penyertaan murid adalah secara sukarela dan mendapat kebenaran ibu bapa atau penjaga.

KUALA LUMPUR – Aktiviti luar bilik darjah di institusi di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) yang sebelum ini ditangguhkan berikutan cuaca panas sudah boleh dilaksanakan semula.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Norisah Suhaili, berkata kementerian itu membenarkan semula aktiviti luar dengan syarat memastikan penjagaan kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid, guru serta anggota kumpulan pelaksana ketika berhadapan fenomena cuaca panas terjamin.

“Kebenaran ini adalah berpandukan Garis Panduan Pelaksanaan Aktiviti Luar Institusi Pendidikan Bawah KPM Semasa Cuaca Panas.

“Semua institusi pendidikan di bawah KPM yang melaksanakan aktiviti luar bilik darjah perlu memastikan penyertaan murid adalah secara sukarela dan mendapat kebenaran ibu bapa atau penjaga,”katanya dalam kenyataan hari ini.

Norisah berkata pihaknya menggalakkan murid memakai pakaian bersesuaian dan berwarna cerah, selain menerangkan kepada mereka langkah pencegahan, simptom dan tindakan rawatan.

Katanya, kemudahan penyejukan seperti kanopi, ais, tuala basah perlu disediakan di bawah garis panduan berkenaan dan murid digalakkan membawa air minuman dan minum sebelum, semasa dan selepas aktiviti diadakan.

Dalam pada itu, beliau berkata pelaksana juga perlu memantau aktiviti yang boleh mendedahkan murid kepada cuaca panas bagi memastikan kesihatan mereka tidak terjejas selain membenarkan waktu rehat tambahan yang mencukupi.

Sekiranya suhu cuaca melebihi 35°C, semua aktiviti luar yang sedang berlangsung perlu ditangguhkan.

Sebelum ini, pada 5 Mei lalu, semua institusi pendidikan di bawah KPM diarah menangguhkan aktiviti luar membabitkan murid, guru dan pensyarah susulan fenomena cuaca panas.

KPM memaklumkan, larangan itu termasuklah untuk aktiviti seperti merentas desa, kawad, sukan, permainan, perkhemahan serta pengajaran dan pembelajaran (PdP) luar bilik darjah.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com