KODIANG : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tindakan sekelompok kecil golongan bukan Islam yang melabelnya sebagai Islamist atau menerapkan konsep Islam secara berlebihan dalam kerajaan pimpinannya adalah satu pandangan yang haprak.
Menurut beliau, keputusan dalam memperluaskan peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bukan bertujuan seperti dimaksudkan kelompok berkenaan sebaliknya ia adalah langkah agar kefahaman umat Islam dalam ajaran agama dapat dipertingkatkan.
Selain itu, ianya juga adalah platform dalam mengelakkan berlaku pertembungan sesama masyarakat yang berbeza kaum dan agama di Malaysia pada masa akan datang.
Ada kalangan kelompok kecil bukan Islam menulis, secara kasar mengatakan (bahawa) Anwar sekarang ini mempamerkan sikap Islamist yang cuba diselindungi selama ini, dengan mengarahkan JAKIM menguasai semua sistem, ini haprak punya pandangan. Saya hendak beritahu rakan rakan saya yang bukan Islam, terima kasih atas sokongan mereka, tetapi mereka harus faham, kalau umat Islam ini ilmunya dangkal, kecenderungan itu (untuk) menghukum (sahaja), kalau sikap itu bengis, keras, (ia) tidak (akan) membawa rakyat menarik dan meminati Islam.
Anwar berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Sambutan Jubli Intan Sekolah Menengah Agama Nahdhah Hasanah di Kampung Melele, Kodiang pada Sabtu.
Dalam perkembangan sama, beliau menyatakan bahawa kerajaan pimpinannya tidak pernah mengabaikan agenda pembangunan melibatkan pendidikan Islam.
Ianya dibuktikan apabila sejumlah RM821 juta di bawah Kementerian Pendidikan telah diperuntukan bagi pengoperasian dan pembangunan pendidikan Islam khususnya bagi 228 sekolah agama bantuan kerajaan (SABK) yang berdaftar di bawah kementerian seluruh negara.
Langkah itu jelasnya tetap dilaksanakan meskipun kerajaan menghadapi kekangan kewangan, hutang yang banyak dan perbelanjaan defisit ketika ini.
Pada Ahad, Anwar menyatakan bahawa Kerajaan Persekutuan mahu memperluaskan peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam usaha mengangkat martabat dan darjat negara.
Menurut Ahli Parlimen Tambun itu, pihaknya telah bertemu dengan kepimpinan Jakim baru-baru ini dan mahu mereka untuk membantu melakar rangka dasar pembangunan negara berteraskan Malaysia MADANI.