Sunday, 5, May, 2024
Utama Nasional PM mesyuarat hala tuju ekonomi bersama Johari Ghani dan KJ

PM mesyuarat hala tuju ekonomi bersama Johari Ghani dan KJ

oleh admin

KUALA LUMPUR : Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan perbincangan berkait hala tuju ekonomi negara yang turut disertai Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Ghani, bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bersama ahli-ahli ekonomi.

Perdana Menteri dalam perkongsian di Facebooknya semalam berkata , perbincangan itu diadakan bagi mendapatkan buah fikiran dan pandangan mengenai ekonomi negara daripada segenap lapisan masyarakat.

Katanya, perbincangan itu turut menyentuh bidang pertumbuhan baharu dan kaedah untuk memperkukuh ekosistem pelaburan.

“Segala pandangan yang dikongsikan pastinya akan digunakan untuk membentuk naratif ekonomi Madani yang sedang dirangka bagi mencorak hala tuju ekonomi negara dalam tempoh jangka masa sederhana dan panjang.

“Pakar ekonomi yang saya temui hari ini juga bersetuju bahawa kita punyai masa yang terhad untuk menyelesaikan masalah atau cabaran yang melanda ekonomi negara dan membawa Malaysia kembali ke landasan yang betul.

“Saya faham sebarang reformasi atau pembaharuan memerlukan disiplin dan kesabaran. Ia juga memerlukan keyakinan serta keberanian untuk melakukan perkara yang baharu dan membuat keputusan yang berat untuk kepentingan rakyat dan negara,” katanya.

Turut hadir dalam perbincangan itu, Pengerusi bersama Ahli-ahli Lembaga Pengarah Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Dr. Nungsari Ahmad Radhi, Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM), Prof. Tan Sri Datuk Seri Dr. Noor Azlan Ghazali, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican dan Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Datuk Nor Azmie Diron.

Dalam pada itu Anwar berkata kerajaan bertekad dan akan bekerja keras bagi memacu pertumbuhan yang inklusif dan mampan.
Jelasnya, pertumbuhan ekonomi bukan hanya angka semata-mata tetapi harus menggarap keperluan serta kehendak rakyat.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com