KULIM – Seorang lelaki ditemukan rentung di tempat duduk pemandu selepas bomba berjaya memadam api sebuah kereta yang terbakar akibat kemalangan di Jalan Kulim-Baling pada Isnin.
Menurut Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Redzuan Salleh, kejadian pada jam 2.20 petang itu menyaksikan mangsa berusia 27 tahun meninggal dunia di tempat kejadian selepas dipercayai gagal keluar dari kereta Proton Iswara yang terbakar.
Walaubagaimanapun, isteri dan dua anaknya pula mengalamai kecederaan parah.
“Hasil siasatan awal polis dapati kemalangan berlaku apabila kereta yang dipandu mangsa yang datang dari arah Kulim ke Baling dipercayai hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah lagi kereta jenis Toyota Camry yang datang dari arah Baling ke Kulim.
“Bagaimanapun pemandu kereta Toyota Camry berusia 46 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya pada Isnin.
Mohd Redzuan berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kulim (HK) untuk bedah siasat.
Manakala Isteri yang berusia 28 tahun serta dua anak mangsa turut dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut.
Katanya, semakan mendapati lesen pemandu Toyota Camry telah tamat tempoh dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.